KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu terpaksa mengambil masa hampir 12 jam untuk memadamkan api sepenuhnya di bangunan empat tingkat di Jalan Dalam Kota, di sini, semalam.

Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata, terdapat beberapa lapisan jeriji dan tingkap di premis berkenaan menyebabkan pihaknya berdepan kesukaran untuk memadamkan kebakaran itu.

“Kita terpaksa mengambil masa hampir 12 jam untuk memadamkan sepenuhnya api iaitu kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam) dan terpaksa menggunakan pemotong untuk memotong jeriji besi.

“Apabila kita potong tingkap ada lagi tingkap lain, potong tingkap yang lain ada lagi bahagian yang tak boleh kita masuk, bila pintu terbuka, ada lagi jeriji dan jeriji itu pula bila kita buka, ada lagi halangan daripada bahan-bahan yang disimpan di stor berkenaan.

“Kita juga terpaksa berdepan risiko letupan daripada bahan mudah terbakar seperti cat dan bahan plastik,” katanya.

Menurut Azlimin, seramai 70 pegawai dan anggota dari tiga balai bomba berhampiran bersama enam jentera terlibat dalam operasi pemadaman tersebut.

Punca dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan.

Sebelum ini, seorang wanita warga emas nyaris rentung dalam kejadian kebakaran di kedai barangan elektrik di Jalan Dalam Kota, di sini, kira-kira jam 4.35 petang, semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa mangsa berusia 60-an yang juga ibu kepada pemilik kedai berkenaan.