KEMAMAN - Seorang ahli Kelab Care For Komuniti (C4K) terkejut menemui bangkai seekor tapir dewasa di tepi jalan Kampung Labohan, Kerteh berdekatan jalan masuk ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Tapir malang berkenaan atau nama saintifiknya Tapirus Indicus dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berdasarkan kesan darah yang ditemui di permukaan jalan berdekatan haiwan mamalia tersebut.

Hasuni Sudin, 54, berkata, badan tapir itu yang berwarna hitam putih menarik perhatiannya yang ketika kejadian dalam perjalanan dari arah Dungun ke Chukai.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghadiri dua temu janji bagi kerja-kerja kebajikan di bawah C4K iaitu lawatan ke Rumah Anak Yatim di Kemaman dan Rumah Orang Tua Daerah Dungun.

"Ketika memandu, tiba-tiba saya nampak haiwan berbadan hitam dan putih terbaring kaku di tepi jalan di depan saya.

"Bila datang dekat, rupanya ia seekor tapir. Saya berhentikan kereta dan dapati binatang itu sudah pun mati," katanya.

Selain kesan darah katanya, turut ditemui di atas jalan raya berdekatan bangkai itu adalah kesan cermin kenderaan pecah bertaburan.

“Saya dah guna laluan ini sejak berpuluh tahun dan ini kali pertama saya terjumpa tapir tapi apa yang sedihnya ia dah mati dilanggar.

“Sebelum ini saya cuma terbaca dua kes tapir melintas di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dalam Sinar Harian. Tak sangka hari ini saya sendiri jumpa tapir,” katanya.

Penemuan bangkai tapir itu kemudiannya dilaporkan pengguna jalan raya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pihak Perhilitan kemudiannya mengambil bangkai itu di lokasi kejadian kira-kira jam 11.15 pagi untuk tindakan lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA KRAI - Seekor tapir ditemui mati di tepi jalan berhampiran Simpang Slow Temiang, Ahad lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.