KEMAMAN - Bangkai seekor penyu dipercayai jenis karah dijumpai terdampar dalam keadaan sudah busuk dan reput di pantai Kuala Kerteh, di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Bangkai spesies terancam itu ditemui seorang bapa, Zurimi Wahab, 48, yang datang bersiar-siar dan bersantai di pantai berkenaan.

Zurimi berkata, sebaik melihat kelibat penyu dari jauh, dia segera berlari menghampiri penyu berkenaan untuk memeriksa.

"Rupa-rupanya ia bangkai penyu dan keadaan bangkainya cukup menyedihkan sebab sudah reput dan pada bahagian cangkerangnya ada kesan seperti kena pukulan objek tumpul.

"Tengok kepada keadaan bangkai, ia mungkin sudah tersadai di tepi pantai selama dua hari dan mungkin sebelum itu ia mungkin hanyut antara dua ke tiga hari," katanya yang tinggal di Taman Wan Adnan, yang terletak kira-kira lima kilometer dari pantai terbabit.

Penyu berkenaan dipercayai penyu dewasa dan dianggarkan beratnya melebihi 50 kilogram.

Kata Zurimi, penemuan bangkai penyu itu adalah kes kedua kematian penyu di pantai itu dalam tempoh dua bulan kerana pada bulan lalu, terdapat satu kes penemuan bangkai penyu.

Menurutnya, penemuan demi penemuan bangkai penyu di kawasan pesisiran pantai turut merisaukan penduduk kerana dikhuatiri penyu yang menjadi ikonik Terengganu akan terus pupus seiring dengan peredaran masa.

"Sebab itu saya berharap kes kematian penyu dapat diatasi demi memastikan penyu yang menjadi kebanggaan kita dapat terus dipelihara dan dipulihara," katanya.