BUKIT KELUANG - Susulan kejadian samun melibatkan empat pendaki wanita di puncak Bukit Keluang pada Jumaat lepas, beberapa langkah akan diambil pihak berkuasa untuk mengelak kejadian sama berulang.

Setiausaha Majlis Daerah Besut, Siti Mariam Abd Hamid berkata, pihaknya merancang memasang papan tanda amaran di permulaan dua laluan ke puncak bukit tersebut.

Menurutnya, papan tanda itu bertujuan memberi peringatan kepada pendaki supaya memilih waktu yang sesuai dan tidak membawa barang berharga.

“Kita kesal dengan kejadian ini kerana boleh menjejaskan imej Bukit Keluang yang selama ini selamat untuk didaki. Apatah lagi bukit ini semakin dikenali sehingga ke seluruh negara,” katanya.

Bagi seorang wanita yang sering mendaki Bukit Keluang, Nik Hasmira Nik Yahya, 30, kejadian menimpa empat wanita terlibat turut memberi kesan kepadanya yang sering mendaki bukit tersebut.

Namun katanya, kejadian itu tidak menghalang dia meneruskan hobi tersebut untuk melihat keindahan alam dan menjaga kesihatan.

“Semalam saya daki lagi bersama kawan, tapi sekarang saya kena lebih berhati-hati. Sebelum ini pun setiap kali hiking, saya tak pernah bawa barang berharga, jauh sekali nak pakai barang kemas. Saya juga memilih  masa yang sesuai untuk mendaki,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, empat wanita dari Pasir Mas, Kelantan diugut rogol dan bunuh oleh dua lelaki bersenjata pisau serta kayu di puncak Bukit Keluang, sebelum disamun menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun serta merampas sejumlah air dan daun ketum berserta ubat batu dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Kampung Lay Out Tok Has, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut melakukan serbuan di sebuah rumah, kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan di dapur menjumpai satu tong plastik mengandungi 77 bungkus cecair dipercayai air ketum, sebungkus kain mengandungi daun ketum seberat 10kg serta masing-masing satu tong gas, periuk besar dan alat penimbang.

“Turut dirampas, 72 botol cecair dipercayai ubat batuk yang akan dicampur air ketum agar kesannya lebih kuat,” katanya.

Tambahnya, barang kes bernilai kira-kira RM1,800 dirampas.

"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, malah saringan air kencing juga negatif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESUT - Polis menumpaskan geng Boy Alza yang dikesan menggunakan penyembur cecair racun serangga terhadap mangsanya sebelum menyamun di sekitar daerah ini yang aktif sejak sebulan lalu.
  • PETALING JAYA - Seorang peniaga makanan didenda RM4,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memecahkan cermin kereta sepupunya, dua minggu lepas.
  • SUNGAI PETANI - Seorang pemilik restoran di Bandar Laguna Merbok mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas beg tangan miliknya termasuk wang tunai dan barang kemas dipercayai dilarikan empat beranak yang berpura-pura sebagai pelanggan.
  • IPOH - “Saya nampak mangsa terduduk lemah dalam keadaan berdarah, sementara isterinya menggigil ketakutan. Melihat keadaan itu, saya terus hubungi polis dan ambulans,” kata saksi kejadian kes samun melibatkan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Halaman Meru Permai, Meru Raya, di sini semalam.
  • SETIU - Tindakan pantas polis berjaya menggagalkan dua lelaki menikmati hasil samun selepas seorang daripada mereka terlebih dahulu berjaya diberkas di sebuah kedai serbaneka 24 jam yang disamun mereka di bandar Permaisuri, di sini, pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.