KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang mengkaji untuk mengambil tindakan lebih tegas bagi menyelesaikan masalah kad pengenalan yang masih belum dituntut oleh pemiliknya sehingga ada yang telah melebihi tempoh dua tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Datuk Mohd Zahari Hasan berkata, sebanyak 159,000 kad pengenalan tidak dituntut yang direkodkan oleh JPN namun punca utama kepada masalah tersebut tidak dapat diketahui.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia adalah disebabkan oleh sikap pemilik atau tabiat pemohon yang mengambil mudah tentang soal pemilikan dokumen pengenalan diri yang sangat penting itu.

“Bila tukar MyKad, kita (JPN) keluarkan resit sementara.  Ia sah laku dalam tempoh tiga bulan dari tarikh permohonan. Bagi pemohon yang jarang menggunakan MyKad untuk kegunaan harian dan seterusnya terlupa selepas tiga bulan menyebabkan ia tidak diambil.

“Sebab itu, kita juga sedang mengkaji untuk ambil tindakan lebih tegas, mungkin pendekkan sahaja tempoh (resit sementara) tiga bulan kepada hanya sebulan untuk mengelakkan perkara itu terus berlaku.

“Walaubagaimanapun, tindakan denda mungkin terpaksa dikuatkuasa, sekiranya langkah itu tidak berhasil,” katanya semasa ditanya berhubung status MyKad yang tidak dituntut selepas merasmikan Hab Percetakan Teragih MyKad JPN Terengganu di UTC Terengganu di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah JPN negeri, Mohd Nasir Karim.    

Difahamkan, individu yang gagal mengambil kad pengenalan yang telah siap boleh didenda maksimum sehingga RM40.

Dalam pada itu, JPN mencetak 2.8 juta hingga 3 juta MyKad setahun.