KAMPUNG LUBUK PERIUK - Madrasah Addiniah Azzakiah atau lebih dikenali Pondok Lubuk Periuk mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membolehkan operasi madrasah tersebut kembali berjalan seperti biasa selepas dilanda banjir minggu lepas.

Mudir, Zaki Mansur berkata, bencana itu mengakibatkan bahan binaan sumbangan orang ramai untuk membina rumah pelajar, rosak dan hilang dihanyutkan arus.

Menurutnya, hanya sedikit barang binaan dapat diselamatkan dengan anggaran kerugian lebih RM20,000.

"Kebanyakan melibatkan kayu, manakala simen pula ditenggelami air sedalam kira-kira 1.5 meter. Kayu yang hanyut itu sepatutnya digunakan untuk bina rumah atau pondok tambahan di atas kira-kira 1.6 hektar kawasan, namun banjir mengakibatkan banyak bahan binaan hanyut.

“Selepas banjir surut, kami mencari semula kayu-kayu itu sehingga terpaksa meredah kebun kelapa sawit. Kami temui kurang separuh dan selebihnya hanyut entah ke mana,” katanya.

Tambah Zaki, walaupun operasi madrasah sedikit terjejas, namun beliau bersyukur kerana air tidak melimpah masuk ke dalam rumah pelajar sedia ada yang dibina lebih tinggi.

Menceritakan pengalaman, Zaki berkata, dalam kejadian banjir minggu lalu, mereka hampir terputus bekalan makanan menyebabkan lima pelajar terpaksa mengharungi banjir kira-kira 1.5 meter untuk ke kedai runcit berhampiran.

“Pondok ini mula beroperasi dua tahun lalu. Banjir minggu lalu begitu besar sehinggakan kami hampir terputus bekalan makanan. Kami tidak dapat keluar setelah seluruh kawasan dinaiki air.

“Kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk memenuhi keperluan pelajar di sini, termasuk merealisasikan hasrat kami untuk membina lebih banyak rumah pelajar. Mengikut perancangan, kami mahu bina kira-kira 300 pondok secara berperingkat, namun bergantung kepada sumbangan pihak yang prihatin,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Sebanyak 1,685 orang daripada 719 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan banjir di Daerah Kota Belud dan Daerah Kecil Membakut, sehingga jam 8 pagi ini berbanding 1,613 daripada 692 keluarga malam tadi.
  • JOHOR BAHRU - “Hujan lebat dalam masa lima minit, air terus naik masuk dalam rumah, kami hanya sempat selamatkan barang penting dan arahkan cucu-cucu yang masih kecil ke balai raya,” luah Lahawiyah Abdul Latif, 69, penduduk Jalan Permatang 7, Kampung Kempas Baru, di sini.
  • GEMAS - Hujan lebat berterusan selama hampir dua jam menyebabkan lapan rumah penduduk di Taman Molek, di sini, dilanda banjir kilat.
  • JOHOR BAHRU - Setakat jam 7 petang tadi, hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan Skudai Batu 10 yang masih beroperasi.
  • JOHOR BAHRU - Beberapa lokasi sekitar Denai dan Permatang, Kempas, di sini, mengalami banjir kilat susulan limpahan air daripada sungai di kawasan berkenaan.