PERMINTAAN tinggi terhadap asam keping mendorong seorang nenek 11 cucu di Kampung Hulu Sat untuk terus setia mengusahakan penambah rasa dalam masakan itu sejak lebih 25 tahun lalu sebagai sumber pendapatan sampingan.

Malah ketibaan musim buah gelugur sekitar Ogos hingga September amat dinantikan Fatimah Salleh, 59, kerana hasil jualan asam keping diusahakannya mampu mencecah RM700 semusim.

Berkongsi cerita, Fatimah berkata, proses pembuatan begitu mudah ditambah pula tidak memerlukan modal besar menyebabkan dia terus menghasilkan asam keping, yang boleh memberi pulangan agak lumayan.

“Awal dulu untuk kegunaan sendiri sebab kebetulan ada pokok gelugur di kawasan kebun dan belakang rumah. Sayang nak biarkan buah gugur macam tu saja, jadi saya buat asam keping. Tak sangka pula ada permintaan dari jiran dan penduduk kampung. Sekarang ini turut dihantar ke Pasar Tani Kuala Berang.

“Saya tak ada masalah nak dapatkan bekalan sebab dua pokok yang ada masih berbuah lebat biarpun hampir 100 tahun. Cuma tahun ini pengeluaran buah tak begitu menjadi. Kalau buah terlalu lebat, saya upah orang panjat dengan bayaran RM25 sepokok. Kalau gugur, saya kutip saja. Lagipun tak ada beza antara buah dipetik dengan yang jatuh. Cuma nak tunggu gugur semua tu mungkin ambil masa lama sikit,” katanya.

Tambah Fatimah, permintaan terhadap asam gelugur sememangnya tinggi sehingga ada yang sanggup buat tempahan awal.

Menurutnya, musim buah tahun lepas dia dapat menjual sebanyak 20 kilogram asam keping dengan harga RM30 sekilogram.   

"Biarpun hasil jualan boleh dikatakan lumayan, tapi tak ramai yang nak ambil peluang ini sebab perlu lakukan beberapa proses yang menuntut kesabaran tinggi," katanya.

Menyentuh proses menghasilkan asam keping, ibu empat anak ini berkata, terlebih dahulu buah gelugur perlu dihiris dan dibasuh sebersih-bersihnya.

“Buah gelugur itu kemudian direndam dalam air garam untuk kurangkan risiko kulat. Waktu rendam terpulang pada individu. Selepas itu perlu ditos dan dijemur sehingga benar-benar kering. Biasa sekitar lima hari bergantung pada cuaca.

“Sewaktu proses menjemur, kita perlu balik-balikkan kepingan asam gelugur supaya benar-benar kering dan tak mudah dijangkiti kulat. Bila dah kering sepenuhnya, kumpulkan dulu untuk lihat kualiti pula. Kalau disimpan dengan baik, asam keping ini boleh tahan hingga lima tahun. Berbanding dijual secara paket di pasaran, asam keping dihasilkan secara tradisional lebih mendapat permintaan,” katanya.

Fatimah berkata, selain digunakan dalam masakan, asam gelugur juga mempunyai nilai perubatan.

"Antara khasiatnya dikatakan mampu menurunkan tekanan darah tinggi, ubati kencing manis, anti penuaan dan melancarkan pencernaan," katanya.