KUALA TERENGGANU - Kehilangan atlet menembak, Muhammad Izzat Husaini Mohd Jidin, 17, yang maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Zainal Abidin petang semalam amat dirasai rakan seperjuangan dan jurulatihnya.

Ketua jurulatih menembak Terengganu, Ahadi Othman berkata, arwah Izzat termasuk dalam senarai 26 orang atlet menembak yang akan menyertai kejohan Sukma di Ipoh, Perak yang dijadualkan pada September tahun ini.

Menurutnya, kehilangan arwah sangat mengejutkan pasukan dan amat dirasai apabila hanya 25 orang akan mewakili Terengganu pada sukan itu nanti.

“Cukuplah dengan 25 orang dan saya mungkin tak akan cari pengganti Izzat dan kami akan lakukan yang terbaik demi arwah yang baharu pertama kali menyertai Sukma dan dia kelihatan sangat teruja untuk bertanding.

“Sejak bulan puasa lagi dia sering bertanya kepada saya bila giliran dia akan ke lapang sasar di Setiu untuk berlatih kerana belum tiba gilirannya lagi, sepatutnya selepas raya ini dia dijadualkan akan menjalani latihan di sana (Setiu),” katanya kepada Sinar Harian.

Ahadi

Ahadi juga menyifatkan arwah sebagai seorang yang peramah dan suka bergurau walaupun baharu mengenalinya setahun yang lalu setelah memasuki pasukan menembak negeri.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah ketika majlis berbuka puasa bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Ramadan lalu.

“Masa berbuka puasa itu, saya ada tegur dia (arwah) yang sedang meratah ikan tetapi dia tidak respons sebaliknya hanya berdiam diri, biasanya dialah yang paling suka bergurau,” katanya.

Muhammad Izzat terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira jam 5 petang dan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah jam 5.40 petang hari kejadian dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, malam tadi.