KUALA NERUS - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berharap kerajaan mempertimbangkan penambahan sekurang-kurangnya 1,000 lagi penjawatan bagi skim Keselamatan dan Pertahanan (KP) agar dapat memenuhi keperluan semasa negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Roslan Wahab berkata, dengan jumlah 576 penjawatan bagi skim itu di seluruh negara ketika ini dilihat terlalu kecil dan tidak mencukupi.

"Jawatan bagi skim ini (KP) tidak banyak. Kekosongan ada apabila pegawai bersara sahaja.

"Jadi, kita harap kerajaan mempertimbangkan penambahan jawatan memandangkan kebelakangan ini keperluan dan tugas APM semakin meningkat.

"Apabila pembangunan meningkat, akan ada berlaku kejadian seperti tanah runtuh dan sebagainya. Jadi keperluan untuk tambah kakitangan merupakan perkara yang perlu diberi perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pentauliahan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Peringkat Kebangsaan 2018 di Dewan Perdana UniSZA, di sini.

Menurut Roslan, peranan dan tugas APM di seluruh negara banyak disokong oleh anggota sukarela.

"Secara keseluruhan, APM mempunyai seramai 2.2 juta anggota sukarela yang berdaftar.

"Manakala 600,000 yang aktif dan 20,000 pula sedia untuk digerakkan bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 30 pegawai kadet Sispa UMT dan UniSZA menerima watikah masing-masing.