SETIU - Seorang anggota polis yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja di Kampung Bari Kecil, 5.20 pagi tadi meninggal dunia.

Mangsa, Ishak Ibrahim,59, yang bertugas sebagai anggota trafik meninggal dunia selepas tujuh jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku berpunca daripada motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kampung Raja menghala ke Kuala Terengganu dipercayai terbabas.

Mangsa beralamat di Tumpat, Kelantan mengalami kecederaan pendarahan di dada, patah peha dan patah tangan kiri dibawa ke HSNZ pihak ambulan.

Bagaimanapun,  jam lebih kurang 12.30 tengahari hari kejadian, polis menerima panggilan daripada pihak HSNZ mengatakan mangsa telah meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, tempat kejadian dapati jalan lurus selepas selekoh dan satu lorong dua hala, garisan berkembar di tengah jalan dan tiada kesan perlanggaran berlaku dengan kenderaan lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.