KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Polis Terengganu sudah bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya dari segi ancaman terhadap ketenteraman awam sebelum, semasa dan selepas PRU14 akan datang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, seramai 2,500 anggota termasuk pegawai akan ditugaskan bagi menghadapi situasi ini yang akan ditempatkan di pusat-pusat pengundian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri ini serta beberapa lokasi lain.

“Dengan jumlah kekuatan anggota sedia ada yang akan ditempatkan di semua pusat pengundian di negeri ini, kita sudah pun bersedia menghadapi sebarang bentuk ancaman sepanjang PRU-14 nanti.

“Bagaimanapun, kita ada memohon tambahan 400 anggota lagi daripada Bukit Aman sebagai satu persediaan awal untuk berdepan perkara-perkara tidak diingini,” katanya, semalam.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui sempena program ‘EX- UNDI PER 2017’ FASA V pasca pilihan raya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Jelasnya lagi, sebagai langkah persediaan awal, pihaknya mengadakan latihan bertujuan untuk menguji keberkesanan perancangan dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

‘Selain itu, latihan yang diadakan juga memastikan kesemua peralatan termasuk logistik, sistem komunikasi dan sistem dalam talian Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan baik.

“Dalam masa sama, menerusi latihan diadakan ini diharap dapat mempertingkatkan kelemahan dalam atur gerak dan masa tindakan bagi menangani sesuatu insiden,” katanya.