PULAU PERHENTIAN -  Anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pulau Perhentian bersedia menyumbang kudrat bagi memastikan tidak berlaku musibah kebakaran besar di perkampungan  pulau tersebut.

Pengerusinya, Mohd Affandi Mat berkata, beliau bersama 34 anggota PBS tersebut bersedia melaksana tugas tanpa mengira masa sekiranya berlaku sebarang bencana khususnya kebakaran di pulau tersebut.

Menurutnya, kedudukan rumah yang berdekatan antara satu sama lain di perkampungan ini berisiko menyebabkan kebakaran besar sekiranya api tidak dikawal dengan cepat.

“Kami mempunyai kemudahan sebuah pondok PBS di kampung ini dan dilengkapi peralatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia seperti satu set lengkap pakaian keselamatan, sebuah bot penyelamat, pam air dan peralatan memadam lain.

“Aset ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memberi bantuan awal pemadaman memandangkan kedudukan yang jauh dari daratan,” katanya mengenai persatuan yang bernaung di bawah Balai Bomba dan Penyelamat Besut.

Beliau berkata demikian selepas majlis suai kenal antara anggota PBS Pulau Perhentian dengan penaung mereka yang baru iaitu Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd,  Datuk Muhammad Nasir Hamzah di pulau berkenaan malam tadi.

Mohd Affandi berkata lagi, PBS amat penting di sini kerana ia mempunyai tanggungjawab besar memastikan tidak berlaku musibah besar di perkampungan ini memandangkan api boleh melarat dari sebuah ke sebuah rumah dengan cepat.

Menurutnya, bagi memperkukuhkan kemahiran anggota, latihan bulanan yang dikendalikan Balai Bomba dan Penyelamat Besut  sering diadakan samada di pulau atau di Kampung Raja.

“Di samping itu pihak resort di pulau ini melantik dua orang kakitangan mereka sebagai ahli persatuan kerana tugas kami turut memberi bantuan memadam kebakaran bukan sahaja kepada perkampungan tetapi meliputi resort di pulau ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nasir menyarankan agar anggota PBS aktif memainkan peranan mereka supaya menjadi pertubuhan yang dapat memberi bakti kepada penduduk setempat.

Menurutnya, pertubuhan seperti ini memerlukan ahli yang aktif bagi memastikan keberkesanan peranan dan matlamat penubuhannnya.

“Kita serta PBS dengan ikhlas dan anggap ia sebagai satu ibadah, maka sudah tentu ia akan memberi kesan positif kepada persatuan dan penduduk,” katanya yang turut menyumbang kemeja T kepada anggota PBS tersebut.