KERTEH - Nasib seorang veteran tentera tidak berpencen yang kehilangan sebelah kaki pada dua tahun lalu mendapat perhatian Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) Negeri Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) Kelantan dan Terengganu.

Musa Ismail, 72, yang tinggal bersama cucunya di Taman Datuk Wan Adnan, di sini, kehilangan kaki kanan setelah terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis.

Timbalan Pengarah JHEV Kelantan dan Terengganu, Kapten Mohd Faizal Jamil berkata, lawatan yang diadakan ke rumah Musa yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) menjadi cara pihaknya untuk sentiasa mendekati veteran tentera yang tidak berpencen.

“Lawatan ini bertujuan membantunya mendapatkan bantuan yang disediakan di bawah JHEV.

“Bentuk bantuan itu adalah seperti skim bantuan sara hidup dan peralatan pesakit iaitu katil pesakit, tilam kalis air, kerusi roda dan kaki palsu,” katanya ketika ditemui pada program ziarah berkenaan.

Turut menziarah adalah wakil PVTTB Negeri Terengganu diketuai Timbalan Yang Dipertuanya, Shariff Yasim; Naib Yang Dipertuanya, Paiman Salimon; Setiausaha, Suhaini Donik dan Ketua Cawangan Marang, Mohamad Jusoh.

Menurut Mohd Faizal, JHEV sentiasa peka akan nasib veteran serta balu tentera yang tidak berpencen.

“Banyak manfaat yang boleh dinikmati veteran atau balu tentera tidak berpencen yang disediakan di bawah JHEV jika mereka mendaftar sebagai ahli,” katanya.

Oleh itu, mana-mana veteran atau balu veteran tidak berpencen yang ingin mendaftar untuk menjadi ahli boleh menghubungi Suhaini selaku Setiausaha PVTTB Negeri Terengganu menerusi talian 013-9853730.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLUANG - Seorang suri rumah tidak menyangka akan menerima bayaran Pencen Penakat Allahyarham suaminya, Ponniran Semat yang meninggal dunia pada 17 Jun 2009 akibat kemalangan jalan raya.
  • PONTIAN - Rutin harian Cikgu Sudin yang begitu padat dengan jadual kelas tambahan membuatkan guru pesara di Kampung Parit Betak Benut ini begitu istimewa.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.