KUALA BERANG - Gunung Gajah Terom yang mempunyai ketinggian 1,206 meter antara salah satu lokasi sering menjadi pilihan bagi peminat aktiviti rekreasi menguji ketahanan mental dan fizikal.

Semalam, Jawatankuasa Pemulihan Dadah  Daerah Hulu Terengganu (JKPDDHT) berkolaborasi dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Terengganu anjurkan Program Sayangi Malaysiaku@Gunung Gajah Terom.

Menurut Pengerusi JKPDDHT, Zakli Ahmad aktiviti bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan itu disertai kira-kira 60 peserta terdiri daripada klien serta ahli jawatankuasa berkenaan.

"Aktiviti berbentuk sukan dan riadah seumpama ini sering diadakan bertujuan

membantu klien meneruskan proses pemulihan, di samping mendedahkan klien dengan kelompok jaringan sosial.

"Kali ini kita memilih program melibatkan aktiviti pendakian bagi menguji ketahanan mental dan fizikal selain memupuk semangat kerjsama serta setiakawan.

"Secara tidak langsung juga pendedahan sebegini sebagai satu galakkan kepada semua yang terlibat untuk sama-sama jaga kemeriahan alam sekitar serta cintakan keindahan alam semulajadi," katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya berharap agar JKPDDHT dapat diberikan peluang dan ruang lebih luas untuk membantu pulihkan klien sekali gus keluar dari kemelut penagihan dadah.