KUALA NERUS - Setelah lima tahun tergendala dan berdepan pelbagai kontroversi, pembinaan jalan dan jambatan dari Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong, di sini, akhirnya siap dan dibuka secara rasmi semalam.

Projek yang menelan kos sebanyak kira-kira RM225 juta itu melibatkan pembinaan jalan empat lorong yang baharu sepanjang 5.6 kilometer dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 2 kilometer.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, jalan empat lorong yang dibina sebagai laluan alternatif itu diyakini mampu mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir terutamanya pada musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Kita percaya, dengan pembukaan secara rasmi laluan alternatif ini bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan di laluan sedia ada di Jambatan Sultan Mahmud dan jambatan Manir ketika waktu puncak dan musim perayaan tetapi dapat mempercepatkan perjalanan ke Kuala Terengganu.

"Malah, ianya merupakan penghubung penting bagi kenderaan-kenderaan keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) ke Kuala Terengganu.

"Projek yang telah siap sepenuhnya ini membuktikan kesungguhan kerajaan bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi, walaupun berdepan pelbagai kontroversi sebelum ini melibatkan pengambilan tanah.

"Bagaimanapun, perkara itu tidak sesekali mematahkan semangat dan usaha kerajaan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jalan dan Jambatan Dari Kampung Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong di Tapak Projek Jeram Tok Kong, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu, Ir. Abd Hamid Md Daud serta pegawai tertinggi kerajaan yang lain.

Projek pembinaan jalan dan jambatan itu sebelum ini berdepan kontoversi apabila terdapat sebilangan kecil penduduk di Kampung Banggol Donas, Teluk Pasu, enggan berpindah dan membantah pengambilan tanah.

Berikutan permasalahan itu, projek yang mula dilaksana pada Disember 2009 dan sepatutnya siap pada tahun 2012 telah tergendala selama lima tahun, walaupun ketika itu status kemajuan kerja telah mencapai 95 peratus dengan baki kerja sepanjang 250 meter tertanguh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUNCAK ALAM - Lagi bantahan dibuat hampir 200 penduduk sekitar Puncak Alam, Kampung Felda Bukit Cherakah, Bukit Kapar dan Bukit Kapar Tambahan terhadap projek perkuburan bersepadu di kawasan itu.
  • ALOR SETAR - Kerajaan negeri tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam pemberian tender mahupun pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini, termasuk memberi keutamaan kepada syarikat penaja.
  • KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah meminggirkan kawasan pembangkang dalam pelaksanaan projek kesejahteraan rakyat.
  • BUTTERWORTH - Jumlah projek di cerun bukit diluluskan kerajaan DAP Pulau Pinang sejak mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2008 adalah lapan kali ganda lebih tinggi berbanding semasa di bawah pentadbiran BN sebelum itu, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
  • KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu melalui Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) telah melancarkan projek penanaman ubi keledek yang dikenali sebagai 'Sweet Latas'.