• Guru yang mengajar di Pahang, Zakiah Ngah, menyusun pinggan mangkuk dalam rumah ibunya setelah banjir yang menengelamkan rumah ibunya di Felda Seberang Tayor surut semalam. Guru yang mengajar di Pahang, Zakiah Ngah, menyusun pinggan mangkuk dalam rumah ibunya setelah banjir yang menengelamkan rumah ibunya di Felda Seberang Tayor surut semalam.
  • Beginilah keadaan sofa di salah sebuah rumah penduduk di Felda Seberang Tayor yang rosak sesudah berendam air, sejak empat hari lalu. Beginilah keadaan sofa di salah sebuah rumah penduduk di Felda Seberang Tayor yang rosak sesudah berendam air, sejak empat hari lalu.
  • Tikar di rumah ibu Zakiah turut koyak. Tikar di rumah ibu Zakiah turut koyak.
1 /

KEMAMAN – "Hanya dalam tempoh dua jam, air banjir sudah mencecah bumbung rumah kami, nasib baik ketika air mula naik kira-kira jam 3 pagi, suami saya yang lumpuh sempat dialihkan penduduk kampung,” kata Zaleha Ali, 39.

Zaleha sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kesemua barangan berharga dalam rumahnya tidak sempat dikeluarkan kerana air naik mendadak dan menenggelamkan rumahnya yang berketinggian 10 meter di Kampung Seberang Tayor Hulu, Selasa lalu.

Lebih menyedihkan, sebanyak 20 lembu yang diternak bersama dua ahli keluarganya yang lain di belakang rumah dan kebun sayur yang sudah boleh dipetik hasilnya, turut musnah dihanyutkan banjir menyebabkan nilai kerugian ditanggung mencecah ratusan ribu ringgit.

Ibu tujuh anak ini berkata, gara-gara banjir besar yang belum pernah dialaminya itu, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sebanyak dua kali dalam tempoh sehari, berikutan pusat pemindahan pertama di Balai Raya Kampung Seberang Tayor, turut ditenggelami banjir kira-kira jam 4 petang.

“Ketika mahu berpindah dari rumah, saya hanya sempat capai dokumen penting dan tidak menyelamatkan barangan lain kerana tidak sangka air akan naik sedalam itu. Seumur hidup, inilah kali pertama saya mengalami banjir buruk sebegini.

“Semua barangan dalam rumah dan ternakan hanyut ke arah sungai malah dua buah motosikal milik kami juga tenggelam,” katanya sebak ketika ditemui di pusat pemindahan Dewan Serba guna Felda Seberang Tayor, Air Putih, dekat sini semalam.

Suami, bapa turut diusung

Dalam pada itu, suaminya, Baharom Mohamed, 34, pula lumpuh dari pinggang ke bawah sejak tiga tahun lalu selepas mengalami patah tulang belakang akibat tersepit pada lori ketika bekerja.

Kedua-dua pasangan ini menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350.

Kata Zaleha, sejak suaminya ditimpa kemalangan, dia menanam sayur-sayuran dan menternak bagi menampung perbelanjaan bulanan kerana dia tidak boleh melakukan kerja tetap disebabkan suami perlu diuruskan sepanjang masa.

Namun bukan sahaja suami Zaleha terpaksa diusung orang kampung ke tempat selamat, malah bapanya, Ali Mohamad, 73, yang uzur dan tinggal di rumah bersebelahan juga turut diusung beramai-ramai.

Ibu Zaleha, Tijah Deraman, 63, meluahkan rasa syukur dengan pertolongan cepat penduduk kampung kerana dia sendiri tidak mempunyai kudrat untuk mengangkat suaminya itu.

Redah air paras dada

Sementara itu, seorang ibu mengandung juga terpaksa meredah air separas dada ketika banjir menenggelamkan rumahnya di Kampung Pengkalan Pandan, Chukai, tiga hari lalu.

Menurut Nor Baiyani Othman, 20, walaupun dalam ketakutan, dia menguatkan semangat untuk meredah banjir bersama suami, Mohd Firdaus Mohamad, 23, yang mendukung anak sulung mereka, Siti Aisyah Azahara, 9 bulan bersama 10 lagi ahli keluarga lain yang tinggal serumah.

“Dalam keadaan pening, saya terpaksa redah air paras dada,” kata Nor Baiyani yang usia kandungannya kini enam bulan.

Katanya, mereka sekeluarga tidak berpindah awal kerana menyangka banjir semakin surut, sebaliknya lain pula terjadi apabila air semakin naik menyebabkan tiga kenderaan iaitu Perodua Kancil, van dan skuter milik keluarganya yang diletakkan di hadapan rumah ditenggelami air.

Seperti dalam filem 'Titanic'

Dalam pada itu, ibunya, Habsah Ali, 57, berkata, air naik ke dalam rumah mereka seperti dalam adegan filem tersohor ‘Titanic’.

“Air naik seinci demi seinci bermula dari tangga rumah sebelum membanjiri rumah,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok kelmarin.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian semalam mendapati keadaan banjir di Kemaman kian pulih apabila beberapa tempat yang ditenggelami air termasuk di Taman Chukai Utama, Kampung Fikri, Seberang Tayor dan Mak Lagam sudah kembali kering.