KEMAMAN - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang tidak mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman menawarkan diri untuk bertanding sebagai ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu demi membantu melaksanakan pelan peremajaan parti itu di peringkat bahagian.

Ahmad Shabery berkata, bagi beliau apa yang penting di peringkat bahagian adalah pelan asas peremajaan.

"Saya bersama parti bukan sahaja untuk melihat anak muda menerajui Umno menjalankan kerja tetapi saya juga akan beri sumbangan dan sokongan kepada mereka.

"Saya akan bergerak ke peringkat cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM) untuk melihay program atau pelan peremajaan ini berjalan," katanya.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, seandainya pelan peremajaan itu tidak dilakukan, Umno akan melihat pengundi-pengundi muda akan terus rasa terasing dari parti mereka.

Ditanya mengenai Ketua Bahagian Umno Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said yang menawarkan diri mempertahankan jawatan itu pada pemilihan peringkat bahagian Sabtu ini, kata Ahmad Shabery, ia adalah sebahagian pakej peremajaan dalam Umno.

"Kita memerlukan kepimpinannya dalam Umno Bahagian Kemaman kerana beliau seorang sahaja Adun yang menang pada PRU14 lalu di parlimen ini.

"Tetapi di bawah beliau, akan diatur barisan orang-orang muda yang dipilih perwakilan dan ia adalah satu perkara yang cukup penting bagi Umno Bahagian Kemaman," katanya lagi.

Selain bertanding sebagai ketua bahagian, Ahmad turut menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden sementara Ahmad Shabery pula menawarkan diri untuk bertanding Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Ahmad Shabery percaya pencalonan Ahmad sebagai Naib Presiden akan mendapat sokongan daripada perwakilan di Terengganu.

"Saya juga harapkan perwakilan dari negeri-negeri lain juga akan melihat soal keseimbangan, biar ada juga wakil dari pantai timur dan sebagainya dalam pucuk pimpinan parti peringkat atas.

"Dalam masa seminggu sebelum pemilihan ini saya percaya banyak perkara boleh berubah, begitu juga dengan citarasa perwakilan Umno sekarang. Jadi tidak ada orang boleh buat andaian tepat bahawa tempat mereka menyokong siapa kerana perwakilan di peringkat bawah mempunyai pemikiran masing-masing kepada siapa mereka mahu beri sokongan," kata beliau.