HULU TERENGGANU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan terus memimpin Terengganu sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, dalam ucapannya, beliau berkata kepimpinan Ahmad Razif akan diteruskan di negeri ini dengan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Kita tahu sekarang menteri besar yang memimpin kita, dengan izin ALLAH atas perkenan Tuanku Sultan Terengganu, beliau akan terus memimpin Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu dan Jentera Pilihan Raya BN P38 Parlimen Hulu Terengganu di Kuala Berang, hari ini.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri; Datuk Seri Jailani Johari dan Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zubir Embong.

Bayangan itu sedikit sebanyak menjawab desas-desus mengenai Adun Seberang Takir itu kononnya akan beralih dan bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus.