BESUT - Grup laman sosial Facebook  popular di daerah malah di negeri ini iaitu Anak- anak Jertih, Besut (AAJB) berjaya mengumpulkan kira-kira 200 pengikut laman tersebut dalam satu perjumpaan di Kampung Pengkalan Nyireh, di sini.

Salah seorang pentadbir grup Facebook itu, Nik Hasmira Nik Yahya berkata, perjumpaan yang dianjurkan oleh enam pentadbir kumpulan itu bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada sebuah sekolah pondok di Kerandang, Jabi.

Menurutnya, perjumpaan itu juga dapat merapatkan mengeratkan silaturahim antara admin-admin dan ahli grup.

" Sebuah tabung besi yang dibuat daripada tong gas penghawa dingin terpakai disediakan untuk ahli memasukkan sumbangan masing- masing.

"Hasil sumbangan itu dijangka akan diserahkan kepada sekolah pondok tersebut dalam masa terdekat yang dijangka akan turut disertai Adun kawasan tersebut, Mohd Iskandar Jaafar," katanya.

Perjumpaan itu diadakan di kedai makan Zam Cendol, Pengkalan Nyireh yang merupakan penaja perjumpaan tersebut.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang turut menghulurkan sumbangan.