KUALA TERENGGANU - Sebanyak 27 badan bukan kerajaan (NGO) bersama Adun Bandar, Azan Ismail mewakili kepentingan penduduk bandar terutama masyarakat Tionghoa di Kampung Cina, di sini, menyatakan kebimbangan berhubung kawasan lapang di kampung itu yang akan dibina sebuah hotel.

Sehubungan dengan itu, pihak terbabit membantah sebarang cadangan untuk mendirikan pembangunan di kawasan lapang yang dijadikan tapak aktiviti bagi masyarakat Dun Bandar di Kampung Cina, di sini.

Azan berkata, pihaknya juga akan mengumpul petisyen daripada orang ramai di kampung berkenaan khususnya masyarakat Tionghoa sebelum sidang Dun akan datang bagi menghalang pembinaan hotel yang bakal dibangunkan pihak swasta di kawasan tersebut.

“Kita akan kumpul sebanyak dua hingga tiga ribu tandatangan daripada orang ramai sebelum sidang Dun yang dijangka bersidang pada 27 Mac ini.

“Kita akan membawa dan membahaskan perkara ini di sidang Dun itu nanti supaya pembangunan tidak dilakukan di kawasan lapang ini (Kampung Cina),” katanya kepada pihak media ketika berkumpul bersama komuniti Bandar di tapak berkenaan, di sini.

Mengulas lanjut, Azan berkata, sebelum ini 27 NGO berkenaan telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri pada 2011 untuk memohon tapak itu dijadikan sebagai pusat komuniti bagi tujuan rekreasi, aktiviti harian dan pentas 1Malaysia.

“Saya fikir sebelum terlambat, lebih baik perkara ini dikemukakan semula kepada kerajaan negeri bahawa pembinaan hotel di tapak ini tidaklah menjadi keutamaan, tiada kepentingan sehingga kepentingan awam diketepikan.

“Saya harap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula kelulusan membina hotel di sini sebab tak nampak keperluan adanya hotel seperti itu di sini.

“Jangan fikir komersil sahaja tapi (fikir) orang ramai, kalau kerajaan berdegil juga, tengoklah PRU14 nanti,” katanya.

Azan yang juga Pengerusi PKR negeri berjanji akan mempertahankan kawasan lapang itu bagi komuniti bandar supaya tidak dilakukan sebarang pembangunan.

Sekiranya, pembangunan diteruskan juga, komuniti Dun Bandar perlu mencari tapak lain untuk dijadikan sebagai pusat aktiviti komuniti.

Sementara itu, seorang kakitangan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri berkata ketika dihubungi Sinar Harian, kawasan lapang itu adalah milik jabatan berkenaan dan mengesahkan terdapat cadangan untuk membina hotel di kawasan terbabit.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kerajaan negeri mengalu-alukan lebih banyak pembinaan hotel bagi menampung kedatangan pelancong yang semakin bertambah ke Pahang setiap tahun.
  • TAMPIN - “Hampir tiga jam saya dan bos terperangkap dalam kebakaran, masa tu saya hanya mampu bertawakal kepada ALLAH dan mengingati mati,” cerita mangsa kebakaran di Karachi Regent Plaza Hotel, Zulkefle Idin, 35, ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
  • KUALA TERENGGANU - Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu meneruskan Projek Hotel Quran sebagai satu usaha dakwah kepada ‘non-Muslim’ untuk mengenali al-Quran dengan lebih menyeluruh.
  • KUALA TERENGGANU - Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu terus komited meneruskan dakwah mereka menerusi projek Hotel Quran bagi memberi ruang kepada 'non-Muslim' mengenali al-Quran.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.