KAMPUNG RAJA -  Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merancang untuk menjadikan kompleks Pusat Serenti Besut di sini sebagai lokap tahanan sementara pesalah kes dadah.

Ketua Pegawai AADK Daerah Besut, Normayati Mat Nawi berkata, AADK mendapati pusat yang terbiar hampir lima tahun lalu itu wajar dimanfaatkan untuk menangani isu penagihan dadah di daerah ini dan kawasan lain. 

Menurutnya, pusat itu mempunyai lima sel lokap yang mampu memuatkan 50 pesalah dengan setiap sel seramai 10 pesalah pada satu-satu masa.

“Kami berharap pusat itu yang pernah dijadikan tempat merawat dan memulihkan penagih dadah kembali berfungsi.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Besut telah membuat anggaran kos pembaikan dan tindakan lanjut akan diusahakan pihak ibu pejabat AADK,” katanya.

Normayati berkata lagi, lokap tersebut akan berperanan untuk menahan pesalah dadah dalam tempoh dibenarkan sebelum mereka dituduh atau dihantar ke pusat pemulihan.

Menurutnya, sebelum ini AADK mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpang lokap untuk menahan sementara pesalah trafik namun ia dalam jumlah yang terhad.

“Jika lokasi ini menjadi realiti, ia akan dapat mengatasi masalah kekurangan lokap untuk tahanan dadah AADK bukan sahaja di daerah Besut malah daerah berdekatan lain seperti Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.

“Malah ia bakal menjadi lokap tahanan sementara AADK yang pertama di daerah ini dan secara tidak langsung memberi impak besar dalam menangani isu dadah yang berlaku di negeri ini khususnya di daerah Besut,” katanya.

Normayati berkata lagi, pihaknya begitu komited dalam usaha memerangi dadah di daerah ini dan memulihkan penagih agar kembali ke pangkal jalan.

Menurutnya, sekiranya masalah dapat diatasi ia sekali gus akan mengurangkan kadar jenayah yang berlaku.

Berikutan itu, Pengarah Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK Malaysia, Wan Addenan Mohd Noor dan Pengarah AADK Besut, Rohayu Ahmad turut melawat pusat itu baru-baru ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUBANG JAYA - Kelam-kabut menutup alat sulit mereka dengan tuala mandi. Itu yang berlaku ketika serbuan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sebuah premis urut terletak di tingkat empat sebuah hotel di sini.
  • SUNGAI BULOH - Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menggunakan pekerja asing di kedudukan dua batu nautika barat Bagan Ajam dekat sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.