KUALA TERENGGANU – Menjalani rawatan kesuburan atau mencuba pelbagai kaedah moden bagi mendapatkan cahaya mata bagi pasangan yang telah lama berkahwin bukan lagi sesuatu yang dianggap taboo dalam kalangan masyarakat.

Buktinya, pelbagai kaedah moden yang dipraktikkan kini mencatatkan kejayaan sekali gus memberikan sinar kegembiraan bagi pasangan yang telah sekian lama mengimpikan cahaya mata.

Dengan kepesatan perkembangan teknologi terkini, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut menawarkan perkhidmatan rawatan menerusi pelbagai kepakaran termasuk bidang perawatan kesuburan.

Sehingga kini, seramai 71 bayi dilahirkan melalui kaedah In-Vitro Fertilisation (IVF) atau lebih dikenali sebagai kaedah persenyawaan dalam tabung uji sejak  diperkenalkan di HSNZ pada 23 November 2009.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pada 2016 pihaknya menerima sebanyak 55 pesakit dan seramai 37 pesakit berjaya menjalani sehingga ke peringkat akhir bagi semua prosedur rawatan.

“Daripada jumlah itu, sembilan pesakit berjaya jalani kaedah Teknologi Bantuan Reproduktif (ART) iaitu merangkumi Superovulation and Intrauterina Insemination (IUI), In-Vitro Fertilisation (IVF) dan Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI).

“Alhamdulillah, tahun lalu seramai empat pesakit telah berjaya melahirkan bayi hasil kaedah ART sementara lima lagi pesakit sedang hamil,” katanya kepada pemberita sempena program bersama media di Kompleks Rawatan Harian, HSNZ, di sini, semalam.

Turut hadir pada sesi itu ialah Ketua Jabatan dan Ketua Pakar Perunding O&G, Dr Mohd Zulkifli Mohd. Kasim dan Pegawai Sains (Embriologi), Siti Norfaizah Wagiman yang turut memberikan penerangan mengenai kaedah IVF.

Kejayaan 25 peratus setiap tahun

Nor Azimi berkata, peratusan kejayaan pesakit yang hamil menggunakan kaedah itu dianggarkan sebanyak 25 peratus setiap tahun.

“Kita kini menerima seramai 80 hingga 100 pesakit setiap tahun. Dengan kemudahan perubatan dan perkhidmatan yang ada, kita bercadang meningkatkan lagi jumlah pesakit kepada 150 pesakit setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan ART di hospital itu bermula sejak 12 tahun lalu dimulai dengan prosedur Intrauterina Insemination (IUI) atau dikenali sebagai kaedah pemanian beradas yang melibatkan 3,048 kes sehingga tahun lalu manakala sebanyak 583 kes melibatkan kaedah IVF dan Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI).

“Pada 23 Disember 2009 Unit Perawatan Reproduktif HSNZ mula mengendalikan kes IVF yang pertama dan bayi IVF pertama dilahirkan pada 31 Ogos 2010. Lebih membanggakan lagi apabila kaedah pemindahan embrio beku atau Frozen Embryo Transfer berjaya dilakukan dengan kelahiran bayi menerusi kaedah itu pada 8 Februari 2012.

“Dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai, perkhidmatan ART di HSNZ kini bukan lagi suatu yang asing kerana ia juga menjadi hospital rujukan bagi zon Pantai Timur yang menawarkan satu sub kepakaran Obstetrik & Ginekologi (O&G) iaitu Perubatan Reproduktif,” katanya.

Selain HSNZ, turut menyediakan kaedah perubatan sama ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Alor Setar, Kedah dan Hospital Likas, Sabah.

Beliau berkata, kesemua perkhidmatan ART ditawarkan dikenakan bayaran berpatutan iaitu RM45 bagi kaedah IUI di mana bayaran asal sebanyak RM1,000 dan RM3,400 bagi kaedah IVF daripada bayaran asal sebanyak RM9,000.

“Kesemua perkhidmatan itu dikenakan bayaran yang murah dan berpatutan kerana ia adalah program separa subsidi kerajaan dan menerima dana daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Bayi pertama IVF sudah bersekolah

Sementara itu, bayi pertama yang dilahirkan menggunakan kaedah ini, Muhamad Amar Haziq Mohammad Fadli, 7, kini telah memasuki alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Marang.

Muhammad Amar Haziq ketika ditemui pada program itu ditemani ibu, Mastika Abdul Aziz, 38 dan bapanya, Mohammad Fadli Ngah, 38.

Mastika yang berasal dari Marang berkata, hasil penantian bersama suami untuk menimang cahaya mata selama empat tahun membuahkan hasil apabila berjaya melahirkan Muhammad Amar Haziq menerusi kaedah IVF pada 2010.

“Alhamdulillah, saya dan suami amat bersyukur kerana penantian untuk mendapat zuriat selama ini berjaya walaupun sebelum ini saya mencuba pelbagai cara termasuk kaedah tradisional dan pernah juga mencuba kaedah IUI sebanyak empat kali pada 2008.

“Selepas usia perkahwinan memasuki dua tahun, saya mencuba IUI sebanyak empat kali, bagaimanapun keputusan amat mengecewakan. Walau bagaimanapun, saya tidak berputus asa sehinggalah saya disyorkan kaedah IVF ini oleh seorang doktor pakar dan sebaik mencuba ia benar-benar mendatangkan hasil,” katanya.

Mestika ketika ditanya mengenai perancangan untuk bayi kedua, katanya dia dan suami tidak menolak untuk mencuba kaedah itu lagi pada masa akan datang.

“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki untuk anak kedua, saya akan cuba lagi untuk menjalani kaedah yang sama,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Siti Noor Syuhada Mohd @ Muhammad Amin, 29, dan suaminya Ahmad Riedhaudden Razak, 34, berkata, mereka berdua memutuskan untuk mengambil inisiatif menjalani kaedah IVF di HSNZ kerana kosnya berpatutan.

Katanya, keputusan untuk menjalani kaedah itu kerana mereka belum memperoleh zuriat setelah lima tahun berkahwin.

“Sebelum ini saya telah menjalani kaedah IUI sebanyak tiga kali tetapi tidak berhasil,  kemudian, saya dan suami mengambil keputusan untuk menjalankan IVF di sini kerana kosnya lebih murah berbanding di hospital swasta. Alhamdulillah, doktor mengesahkan saya mengandungkan bayi kembar dan kini berusia sembilan minggu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :