KUALA TERENGGANU – Seramai 70,000 pengguna dari 15,000 rumah di sini mengalami gangguan bekalan air ekoran paip saluran air di Loji Air Bukit Losong 1 yang membekalkan air di kawasan ini mengalami kerosakan kira-kira jam 7 pagi tadi.

Ketua Pegawai Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu),  Ir Atemin Sulong berkata, antara kawasan yang terjejas ialah sebahagian kawasan Losong, Kampung Durian Burung, Kg Pulau Musang, Kg Paloh, Kg Sungai Rengas, Kg Kuala Bekah dan Kg Pulau Rusa.

Menurutnya, kerja-kerja membaiki gangguan yang berpunca dari paip pecah itu dijangka akan pulih sebelum jam 5 petang ini.

“Kerosakan paip di lji air ini ini dipengaruhi oleh faktor ketahanan paip yang telah berusia hampir 63 tahun di mana ia dipasang sejak 1954.

“Jadi, kita mohon kepada seluruh penduduk yang terlibat agar dapat bersabar. Kita juga ada sediakan lori tangki di kawasan tumpuan penduduk untuk bantu mereka yang mengalami masalah bekalan air ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang berusaha menggantikan paip baharu untuk kegunaan dengan kos diperuntukkan sebanyak RM700 juta termasuk RM100 juta untuk loji baharu.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kita kini dalam proses ganti loji ini dengan loji baharu yang dijangka akan dapat disiapkan pada 2020. Loji ini akan dibaik pulih supaya keupayaan bekalan dua kali ganda dari yang sedia ada,” katanya.

Mana-mana penduduk yang masih berdepan masalah boleh terus menghubungi talian 1800-882-1111.