PAKA - Seramai 60 ibu tunggal diberi bantuan dan perhatian menerusi program Titian Kasih Dun Paka yang diadakan di Dewan Sivik Paka, di sini, baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Dun Paka, Tengku Hamzah Tengku Draman berkata, mereka yang dibantu bukan penerima bantuan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi perlu diberi perhatian bagi mengelak keciciran.

“Kita adakan program ini supaya dapat meringankan beban golongan ibu tunggal dalam menyara anak-anak dan keluarga.

“Kita juga mencari mereka yang mungkin keciciran atau tidak tersenarai dalam mana-mana penerima bantuan bulanan," katanya.

Menurutnya, menerusi usaha ini pihaknya menyelami permasalahan mereka dan mengelak berlakunya keciciran dalam apa jua perkara.

“Bukan ini sahaja tetapi pelbagai lagi program kebajikan dan kemasyarakatan kita rancakkan supaya semua diberi perhatian,” katanya kepada Sinar Harian.