DUNGUN - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah menjadi sekolah paling banyak menerima anugerah sempena Hari Anugerah Kecemerlangan  Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun 2016 yang diadakan di Dewan Aspirasi UiTM Dungun, baru-baru ini.

Sekolah berkenaan menerima lebih 10 anugerah dalam pelbagai kategori termasuk diiktiraf sebagai Sekolah Menengah Berwibawa 2016, sementara Pengetuanya, Fauzi Hamzah pula dinobatkan sebagai Pengetua Berwibawa.

Fauzi berkata, kejayaan itu bukan usaha beliau seorang, sebaliknya hasil komitmen semua pendidik dan kakitangan sekolah.

Menurutnya, kejayaan itu bukan mudah, namun bukan mustahil untuk warga sekolah berkenaan terus mara ke peringkat negeri dan persada antarabangsa.

“Kita berusaha untuk menaikkan nama sekolah dan guru-guru sangat komited merealisasikan hasrat ini. SMK Tengku Intan Zaharah cuba seimbangkan 5A iaitu akhlak, akademik, aktiviti kokurikulum, akal dan budi serta agama. Kita yakin 5A ini mampu melahirkan anak didik yang cemerlang bagi menyumbang kepada pembangunan negara.

“Hasilnya, tahun lalu kita berjaya merangkul pingat perak dan gangsa dalam International Festival Innovation On Green Technology, serta Anugerah Emas (rakaat tracker) dalam International Innovation Invention And Design Exposition 2016,” katanya.

Tambah Fauzi, walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk mencapai tahap itu, namun pihaknya berhasrat untuk menggapai kejayaan lebih tinggi pada masa akan datang.

“Cabaran utama kita untuk mengenal pasti potensi dan bakat pelajar. Kita juga perlu seimbangkan bidang akademik dan kokurikulum supaya produk dihasilkan lebih berketerampilan.

“Walaupun terpaksa bersaing dengan sekolah hebat yang lain, tetapi sasaran utama kita untuk terus membawa sekolah ini ke peringkat lebih cemerlang dalam semua aspek termasuk kokurikulum dan inovasi, selain memperbanyakkan lagi penglibatan di peringkat global,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :