KUALA TERENGGANU - Hujan lebat berterusan di pedalaman Dungun sejak malam tadi menyebabkan 55 mangsa daripada 20 keluarga di dua kampung berpindah ke pusat penempatan banjir pada 5.30 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata seramai 49 mangsa (16 keluarga) kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor manakala enam mangsa (empat keluarga) ditempatkan di Dewan Orang Ramai Pasir Raja.

"Kawasan Hulu Dungun mula dilanda hujan sejak Jumaat lalu, namun situasi masih terkawal hinggalah malam tadi, hujan terlalu lebat dan menyebabkan kenaikan paras air sungai.

"Ketika ini, beberapa kawasan di Terengganu masih dilanda hujan. Sehubungan itu, penduduk di kawasan rendah perlu lebih berwaspada dan peka dengan sebarang perubahan di sekitar mereka serta patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarah berpindah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata tiga sekolah rendah di Dungun dan Kemaman dijangka tidak beroperasi esok.

"Dua sekolah di Dungun dinaiki air iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja melibatkan 63 murid dan SK Kampung Shukor (73 murid).

"Satu lagi sekolah di Kemaman pula iaitu SK Padang Kubu terjejas kerana laluan ke sekolah itu dinaiki air melibatkan 264 murid," katanya ketika dihubungi Bernama.

Shafruddin turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa berhubung dengan pengurusan sekolah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung situasi sesi persekolahan anak mereka. - Bernama