KUALA TERENGGANU – Peminat kartun karya kartunis hebat seperti Ujang, Fatah dan Datuk Lat kini boleh mengimbau nostalgia mereka dengan mengunjungi Pameran Kartun dan Kita yang sedang dipamerkan di Muzium Negeri bermula 1 Julai hingga 31 Oktober depan.

Lebih 500 karya kartun popular hasil lukisan 100 kartunis dari seluruh negara kini dipamerkan di sana dengan karya paling awal adalah sekitar pada era tahun 20-an.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran pameran kali pertama di Terengganu itu mampu memberi impak positif kerana kartun dan komik dekat dengan hati masyarakat tanpa mengira peringkat usia.

“Pameran ini boleh menarik perhatian pelbagai peringkat masyarakat, tidak hanya golongan kanak-kanak namun golongan dewasa juga kerana apa yang dipamerkan adalah merupakan bahan bacaan hiburan yang terdiri dari komik kartun lama, iaitu sekitar era 70 an sehingga kini.

“Pada era yang lampau ianya  amat popular dan dibaca oleh golongan kanak-kanak. Kini kanak-kanak tersebut telah pun dewasa malah ada yang telah menjadi warga emas pada hari ini dan ianya terpahat menjadi sebuah nostalgia,” katanya ketika merasmikan pameran itu di Muzium Negeri, semalam.

Hadir sama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Mohd Azmi  Ngah, kartunis tanahair Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid, Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar dan tetamu jemputan lain.

Pameran Kartun dan Kita merupakan kali kedua diadakan di Terengganu selepas Muzium Negara pada tahun lepas dan ianya adalah hasil kerjasama Jabatan Muzium Malaysia, Persatuan Rumah Kartun dan Persatuan Animasi Malaysia.

Pameran ini turut memaparkan sejarah perkembangan kartun dan komik di negara ini bermula pada 1925 dan mencapai zaman kegemilangannya pada 1971 hingga 1990 dan perubahan ke dunia animasi pada tahun 1946.

Tarikan lain pameran ini adalah wujudnya satu sudut tribute khas kepada kartunis tempatan yang berasal dari  Dungun iaitu Fatah Ngah yang sangat terkenal dengan watak dalam karya komiknya A.Mamud dan hasil karya lukisan kartun sepanjang  14 kaki dibuat khas oleh kartunis Aza.

Sepanjang empat bulan pameran ini berlangsung, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti bengkel animasi, bengkel melukis kartun dan komik, bual bicara bersama kartunis, pertandingan mewarna, pertandingan silangkata dan tayangan-tayangan filem pendek kartun terpilih.

Sejarah kartun di Malaysia bermula pada tahun 1928 dengan kartun pertama adalah karya pelukis tempatan Raja Sulaiman yang diterbitkan oleh Malayan Police Magazine.

Tahun 1946 merupakan permulaan seni komik negara dengan munculnya majalah hiburan yang menyediakan ruang dan peluang kepada pelukis untuk berkarya.

 Antara majalah berkenaan ialah Filem Raya, Terang Bulan, Utusan Kanak-kanak, Utusan Zaman, Tunas Mutiara dan antara kartunis yang lahir melalui majalah hiburan ialah Rejabhad, Lat, Mishar, Rossem, Hussain Saad, Kassim.