MARANG - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Marang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Marang menahan 49 individu disyaki penagih dadah dalam operasi dua hari, di sini.

Pegawai AADK Marang, Wan Zulkafli Wan Ahmad berkata, kesemua suspek terbabit ditahan di kawasan sekitar daerah berkenaan dalam operasi bermula Ahad sebelum berakhir petang semalam.

Beliau berkata, seramai 54 individu telah diperiksa dan menjalani saringan awal air kencing sebelum 48 individu didapati positif dadah jenis methamphethamine manakala seorang lagi jenis opiat.

“Mereka yang berjaya ditahan semasa operasi tersebut dibawa ke Pejabat AADK Marang untuk menjalani saringan ujian air kencing. Hasil saringan mendapati seramai 48 positif Methamphethamine.

“Seorang lagi positif opiat manakala lima orang lagi didapati negatif. Dalam pada itu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik turut menahan lima penagih untuk tindakan lanjut,” katanya.

Wan Zulkafli berkata, AADK Marang juga menahan reman 15 individu yang didapati positif dadah itu selama 14 hari di Pusat Tahanan Reman, Gambang, Pahang sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Operasi diadakan ini selain bertujuan mengesan penagih dadah di sekitar daerah Marang ia dijalankan untuk mengurangkan kadar jenayah yang berlaku akibat gejala penyalahgunaan dadah,” katanya.