KUALA TERENGGANU - Terengganu melakukan rombakan terhadap 44 pegawai tadbir negeri yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari, ekoran perkhidmatan tiga pegawai tertingginya telah berakhir hari ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tiga pegawai tertinggi terlibat ialah Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pegawai Daerah (DO) Kuala Terengganu dan Datuk Bandar Kuala Terengganu.

Menurutnya, beliau berharap dengan adanya penstrukturan baharu itu ia dapat mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan negeri bagi 2018.

“Hari ini kita telah melakukan majlis penyerahan tugas dan juga angkat sumpah pegawai-pegawai kanan bagi tahun hadapan yang akan berkuat kuasa bermula esok. Seramai  44 pegawai kanan bertukar dengan sebahagian besarnya dinaikkan pangkat.

“Jadi, kita berharap dengan perubahan atau rombakan struktur ini ia akan melancarkan lagi pentadbiran kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas majlis serah tugas pegawai kanan negeri dan angkat sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya.

Antara pegawai tadbir negeri terbabit dalam rombakan itu ialah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim ditukarkan ke jawatan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu dan jawatan lamanya akan diganti Pegawai Daerah Besut, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Manakala, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh pula ditukarkan ke jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) manakala Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik bertukar ke jawatan sama di Kuala Terengganu.

Pegawai Daerah Marang, Zainal Abidin Mohamed ditukarkan ke jawatan yang sama di Hulu Terengganu diikuti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Shahidan Embok bertukar ke jawatan Pegawai Daerah Besut.

Turut ditukarkan Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Setiu, Mat Azmi Arshad ke jawatan yang sama di Marang; YDP Majlis Daerah Hulu Terengganu, Osman A. Bakar ke jawatan YDP Majlis Perbandaran Dungun dan Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Wan Mohd. Anuar Wan Endut ditukarkan ke jawatan YDP Majlis Daerah Hulu Terengganu.

YDP Majlis Daerah Marang, Rozali Salleh bertukar ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dan Setiausaha MBKT, Zulkafeli Omar ke jawatan baru sebagai YDP Majlis Daerah Setiu.

Selain itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman, Anuar Awang ke jawatan YDP Majlis Daerah Marang dan Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Wan Mohd. Zaki Wan Abdullah ditukarkan ke jawatan Setiausaha MBKT.

Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu, Ariffin Abdullah ke jawatan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kuala Nerus dan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun, Mohamad A. Rahman @ Othman ke jawatan Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :