KUALA TERENGGANU -  Polis menjangkakan peningkatan mendadak pengguna di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sehingga mencecah 40,000 kenderaan sehari menjelang musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut minggu depan.

Justeru, seramai 58 pegawai dan 362 anggota polis dari pelbagai jabatan ditugaskan menjaga keselamatan masyarakat sepanjang dua minggu Operasi Selamat (Ops Selamat) sehingga 23 Februari depan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, aliran trafik turut mengakibatkan kesesakan di seluruh jalan utama di negeri ini berikutan peningkatkan kadar pengguna yang dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa.

Menurutnya, sepanjang Ops Selamat ini, tiga objektif utama yang dititikberatkan pihaknya iaitu, membendung peningkatan kemalangan dan kematian, mengurus kelancaran lalu lintas serta mencegah kes pecah rumah dan curi.

“Berdasarkan penugasan yang ditetapkan itu, seramai 237 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ditugaskan mengawal lalu lintas sepanjang dua minggu Ops Selamat dilaksanakan.

“Bagaimanapun, aliran trafik dijangka sesak pada tiga hari ini iaitu 15 Februari (Khamis), 18 dan 19 Februari (Ahad dan Isnin) terutamanya di tiga daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Keselamatan Jalanraya Ops Selamat, di sini, hari ini.

Dalam kempen itu, pelbagai agensi turut 'turun padang' antaranya adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud yang juga Pengerusi Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Terengganu.

Sementara itu, Aidi berkata, polis turut mengenal pasti tiga kawasan hitam yang dilaporkan kerap berlaku kemalangan iaitu di daerah Kuala Terengganu di Kilometer 3, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan (Jalan Kamaruddin), Dungun di Kilometer 72 -73, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan (Pulai Serai) dan Kemaman di Kilometer 170, Jalan Jerangau - Jabor (Padang Kubu).

Justeru, beliau menasihatkan pengguna di lokasi terbabit supaya berhati-hati dan sentiasa patuh kepada undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sama ada sepanjang mahu pun selepas perayaan Tahun Baharu Cina.