KUALA TERENGGANU - 35 buah sekolah di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus rosak akibat dilanda ribut yang berlaku kira-kira jam 3.55 petang dan berakhir 4.10 petang.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, hanya dua daerah terbabit sahaja yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau telah meminta pengetua dan guru besar sekolah yang rosak teruk membuat laporan polis.

Langkah berkenaan penting supaya setiap sekolah mendapat bantuan kecemasan daripada Kementerian Pendidikan dapat dipohon segera.

Shafruddin meninjau keadaan SMK Sultan Mansor yang teruk rosak.

"Kita juga meminta kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya untuk menilai kerosakan kepada 35 buah sekolah ini.

"Dalam masa sama saya telah arahkan pihak sekolah meletakkan pita kecemasan sebagai tanda supaya pelajar mengutamakan keselamatan," katanya kepada Sinar Harian.

Shafruddin juga menegaskan supaya keutamaan diberi kepada pelajar yang sedang menduduki percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Tambahnya juga, jika terdapat kerosakan kecil yang boleh didahulukan, pihak sekolah disaran membaikinya terlebih dahulu.

Bumbung pecah bertaburan di kawasan parkir SK Paloh.

"Jika berlaku kerosakan yang memerlukan kos yang besar, kita akan melantik kontraktor untuk membaiki segera," katanya.

Antara sekolah yang teruk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor,  SMK Sultan Sulaiman, SMK Sultan Ahmad dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Losong.

Sekolah lain yang terlibat antaranya juga SK Paloh, SK Bukit Losong, SK Wakaf Mempelam, SMK Belara, SK Seri Budiman II dan SK Losong.