KUALA TERENGGANU - Perkahwinan Perdana Transformasi Terengganu Baharu (TTB) 2017, semalam, melakar sejarah apabila buat pertama kalinya diiktiraf dalam Malaysia Book of Record.

Pengiktirafan tersebut dibuat berdasarkan jumlah penyertaan pasangan teramai dalam majlis resepsi yang diadakan serentak melibatkan 271 pasangan muda yang berkahwin kali pertama dari semua lapan daerah di negeri ini di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Perkahwinan Perdana TTB dengan peruntukkan sebanyak RM1.6 juta ini merupakan penganjuran kali kedua oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) selepas kali pertama tahun lalu yang melibatkan seramai 217 pasangan.

“Insya ALLAH untuk tahun-tahun yang akan datang, saya yakin pasangan ini akan bertambah. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan agenda memperkasakan keluarga dalam prinsip ketiga TTB iaitu ‘Keluarga Bahagia’. Kita yakin dan percaya kebahagiaan itu mesti bermula daripada rumah tangga.

“Kita hendak memastikan bahawa persekitaran rumah itu sendiri akan dapat mencerminkan apa yang kita hasratkan untuk masa akan datang dan dengan adanya majlis perkahwinan perdana ini, sudah pasti banyak membantu (pasangan muda) sebagaimana saya sebut ‘kecil bagi kerajaan besar bagi rakyat’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Keluarga Generasi TTB: Perkahwinan Perdana 2017 di Pusat Konvensyen TTI di sini, hari ini.

Kesemua pasangan mengadakan majlis akad nikah daerah masing-masing kelmarin kecuali daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang dibuat hari ini di Majlis Kristal, TTI.

Penyertaan tersebut melibatkan 24 pasangan dari Besut, Setiu (25), Kuala Nerus (36), Kuala Terengganu (34), Marang (39), Hulu Terengganu (23), Dungun (48) dan Kemaman (42).

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Sepasang adik-beradik di sini sepakat untuk melangsung detik bersejarah pada tarikh sama dengan memilih majlis perkahwinan beramai-ramai.
  • JOHOR BAHRU - Perkahwinan secara bajet akan dimasukkan dalam manifesto Pakatan Harapan Johor.
  • BUTTERWORTH - Suasana majlis perkahwinan Penolong Ketua Biro Sinar Harian Utara, Mohamad Fakhri Mohd Ali meriah dengan kehadiran beberapa pimpinan parti politik dalam majlis bertempat di Mak Mandin tadi.
  • KUALA LIPIS - Pas Lipis mempelawa bakal pengantin di daerah ini dan berhampiran untuk menyertai Walimatul Urus Majlis Kenduri Kahwin Perdana 2.0 yang dijangka berlangsung pada 21 Oktober ini.