KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu telah mengambil tindakan terhadap 26 aduan membabitkan kes ketidakpatuhan atau manipulasi harga sepanjang pemeriksaan sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), bermula 1 Jun hingga 5 Julai lalu.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia berdasarkan pemeriksaan terhadap hyper market, super market, kedai runcit dan mini market peruncitan di negeri ini.

Menurutnya, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah aduan tertinggi, iaitu sebanyak 20 kes, diikuti Kemaman sebanyak lima kes dan satu kes dicatatkan di Dungun.

“Antara aduan dan kesalahan yang kita terima adalah harga barangan tidak berubah walaupun setelah pelaksanaan sifar GST. Ada juga penurunan harga tidak selaras dengan sifar GST enam peratus.

“Malah, ada premis yang masih menggunakan GST enam peratus. Kesemuanya telah kita ambil tindakan, sama ada kita keluarkan notis 21 atau memberikan amaran kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNHEP di sini, hari ini.

Jelas Saharuddin, antara alasan yang diberikan oleh peniaga ialah disebabkan kelemahan di kalangan pekerja itu sendiri, di samping merasakan tempoh yang diberikan singkat kerana ramai pekerja yang bercuti, selain sambutan hari raya.

Bagaimanapun katanya, KPDNHEP tidak mengambil mudah dengan alasan-alasan sedemikian dan menegaskan, peniaga harus akur dengan ketetapan yang diberikan kerajaan, iaitu dalam tempoh sebulan.

“Kadang kala di peringkat peniaga sendiri, mereka menghadapi kesulitan sebab item mereka terlampau banyak dan mereka terpaksa ubah di rak dan selaraskan dengan sistem komputer di kaunter itu sendiri.

“Bagaimanapun, kita tak nak peniaga ambil mudah tentang ini kerana kita sudah beri tempoh selama sebulan untuk mereka selesaikan dan pastikan tag harga di rak dibetulkan. Tempoh untuk mereka ubah tag harga di rak-rak bermula dari 1 Jun hingga 30 Jun.

“Kita juga minta kepada pengguna, sekiranya mereka dapati ada unsur penipuan dalam transaksi jual beli, boleh buat aduan kepada KPDNHEP untuk kita buat siasatan dan tindakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga 5 Julai lalu, pihaknya telah membuat 20,908 pemeriksaan dan daripada jumlah itu, 431 kes telah diambil tindakan.

“Daripada jumlah berkenaan, nilai rampasan yang telah kita laksanakan sehingga tempoh itu ialah RM189, 521.35 manakala nilai kompaun yang dikenakan ialah RM53,200 dan nilai denda RM175, 800,” katanya.