DUNGUN - Sejak hampir 20 tahun lalu, kehidupan seorang lelaki, Amran (nama samaran), 58, tidak lagi normal kerana sering diganggu perkara kurang menyenangkan dipercayai makhluk halus.

Pelbagai perkara aneh berlaku menyebabkan kesihatannya terganggu, yang menimbulkan rasa seram yang kemudian seakan menjadi kebiasaan.

Amran berkata, bila berada di rumah, dia tidak bersendirian kerana ditemani makhluk ghaib dipercayai saka peninggalan nenek moyang.

Menurutnya, sudah banyak tempat dia pergi berubat termasuk Mesir, Thailand dan sekitar negeri ini, namun masih tidak berhasil.

“Bila tiba waktu malam, tidur saya tak pernah lepas daripada mimpi karut-marut. Bila saya sendirian, seperti ada sesuatu mendampingi. Kadang benda tu terjun dari atas bumbung dan bunyi memang nyata. Kadang-kadang dia gerakkan kerusi, tapi saya tak nampak.

“Ada juga dia terjun di hujung kaki ketika tidur dan memang kehadirannya dirasai. Pernah saya kena cekik tiga atau empat kali dan bagai nak putus nyawa. Saya juga sering sakit di bahagian belakang tengkuk dan terasa berat.

“Merata-rata tempat saya pergi berubat dan rata-rata mendakwa gangguan itu datang daripada saka dan terkena buatan orang. Bila pergi berubat, gangguan akan berhenti seketika dan akan kembali semula. Gangguan ini bukan sahaja mendatangkan masalah kepada saya, tetapi turut memberi kesan kepada ahli keluarga,” katanya.

Amran berkata demikian ketika ditemui ketika jerayawara rawatan zikir elektrik digerakkan Pusat Rawatan Al-Fitrah di Nur Hiqmah Homestay, Gong Pasir, di sini, baru-baru ini.

Menurut bekas kakitangan di sebuah hospital itu, apabila mendapat tahu mengenai rawatan zikir terapi elektrik, dia tidak melepaskan peluang untuk mencuba.

“Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan, memang ada perubahan. Tubuh rasa lebih ringan dan tidur tiada gangguan, tapi rawatan akan disambung sehingga ke rumah.

“Saya harap kehidupan saya akan kembali normal selepas sepanjang 20 tahun diganggu dan diselubungi misteri. Saya tawakal dan rawatan berlandaskan Islam sebegini lebih diyakini,” katanya.

Sementara itu, pengasas rawatan, Hamdan Abdullah berkata, zikir elektrik dan rawatan perubatan Islam digunakan untuk merawat pelbagai penyakit termasuk gangguan makhluk halus, pesakit kronik, ketagihan dadah dan sebagainya.

“Rawatan dilakukan menerusi keunikan zikir terapi elektrik dan tiada barang lain kecuali wayar untuk mengalirkan arus elektrik ke tubuh pesakit. Apa sahaja penyakit bermula daripada sakit biasa seperti sakit kepala, lutut, sendi hingga peringkat kronik cuba kita sembuhkan dengan izin ALLAH.

“Tidak ketinggalan bagi yang terkena gangguan dan juga masalah penagihan dadah. Rawatan terbuka kepada lelaki atau wanita kerana kita turut menyediakan khidmat wanita untuk pesakit wanita. Rawatan perubatan Islam yang dilakukan ke atas pesakit juga adalah percuma ataupun mengikut kemampuan mereka dan hanya bayaran berpatutan dikenakan untuk kaedah zikir terapi ini.

“Saya sudah berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang rawatan Islam dan zikir terapi elektrik bermula sejak setahun lalu. Alhamdulillah, gabungan rawatan Islam dan zikir terapi menunjukkan kesan positif serta kami sudah merawat pelbagai golongan termasuk kerabat diraja, VVIP dan orang biasa.

“Rawatan Islam Al-Fitrah berpusat di Kampung Padang Tembesu, Tumpat, Kelantan dan sekarang kita dalam siri roadshow di Terengganu.

“Sebelum ke sini, kami sudah jalankan rawatan di Felda Kerteh, Ketengah Jaya dan mendapat sambutan menggalakkan. Rawatan seterusnya di sini juga akan dilakukan semula mengikut tarikh dimaklumkan akan datang. Bagi yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut boleh hubungi talian 019-3288457,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :