HULU BESUT - Orang ramai khususnya dari kawasan Hulu Besut memenuhi Dewan Terbuka Pejabat Penyelaras Hulu Besut untuk mendapatkan barangan secara percuma sempena program ‘Pasar Percuma’ yang diadakan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad berkata, program sehari itu dikendalikan bersama Yayasan Pembangunan Usahawan, SME Corp Terengganu, Mara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, koperasi negeri serta Majlis Daerah Besut (MDB).

Menurutnya, lebih 2,000 pengunjung hadir untuk mendapatkan barangan percuma yang disediakan di situ.

"Kebanyakan membabitkan pakaian baru dan terpakai selain barangan makanan seperti gula dan beras.

“Usaha ini dilaksanakan kerajaan negeri bertujuan membantu golongan kurang berupaya untuk memperoleh keperluan secara percuma yang disumbangkan orang ramai menerusi pasar tersebut,” katanya selepas mengagihkan beras percuma kepada orang ramai.

Nawi berkata, program seumpama itu merupakan yang ketiga dilaksanakan di Terengganu setakat ini.

Katanya, barangan tersebut disumbangkan pelbagai pihak untuk membantu rakyat terutamanya yang kurang berkemampuan.