MARANG - Seramai sembilan individu berjaya ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 dalam Operasi Cegah 19 di sekitar daerah yang berakhir di sini, semalam.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Marang, Wan Zulkafli Wan Ahmad berkata, mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke Pejabat AADK Marang untuk saringan ujian air kencing.

"Hasil saringan air kencing dijalankan ke atas individu terbabit mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphethamine," katanya kepada Sinar Harian, pagi ini.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi mengesan penagih dadah di sekitar daerah berkenaan disamping untuk mengurangkan kadar jenayah berlaku akibat gejala penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, katanya, AADK Marang turut mendakwa seramai enam Orang Kena Pengawasan (OKP) yang gagal mematuhi syarat-syarat pengawasan di bawah Seksyen 6(2) APD 1983.

"Pihak AADK Marang juga telah berjaya mendapatkan perintah tahanan reman selama 14 hari terhadap dua lagi individu yang disyaki di Pusat Tahanan Reman, Gambang, Pahang," katanya.