KUALA TERENGGANU – Terengganu catatkan 16 kes buli fizikal libatkan 45 pelajar sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang berkata, pihaknya kesal kerana masih terdapat kes buli yang serius dalam kalangan pelajar di negeri ini.

“Kes buli ini amat serius, saya amat kesal kerana perkara ini masih berlaku dalam kalangan pelajar sekolah dan di institusi pendidikan kita khususnya di Terengganu.

“Walaupun bilangannya agak kecil berbanding masalah disiplin lain, kita tak nak perkara ini berlaku. Sekiranya dibiarkan, ia boleh menular kepada kes-kes lain selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat dua mangsa buli yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussain.

Menurut A Latiff, berdasarkan nisbah keseluruhan kes buli di negeri ini, kes melibatkan kecederaan fizikal masih berada pada tahap rendah, bagaimanapun ia perlu ditangani secara serius oleh jabatan, institusi, kolej dan pihak sekolah.

“Daripada 23,000 pelajar yang kita ada, yang terlibat dalam melakukan kesalahan buli hanya 100 orang yang mana bukan hanya melibatkan kecederaan fizikal.

Sementara itu, Shafruddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes buli dan berharap agar peti aduan asrama dimanfaatkan pelajar.

“Sebelum ini kita ada lancar peti aduan asrama dan saya rasa ia perlu dimanfaatkan pelajar dan guru dalam membendung jenayah ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAPAH - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah terus bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang bagi memastikan gejala gengsterisme dan buli dalam kalangan pelajar di dalam kawasan daerah ini dapat diatasi bersama.
  • KUALA TERENGGANU - Polis sudah membebaskan 26 pelajar yang di reman sebelum ini, yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli membabitkan tiga mangsa di sebuah kolej vokasional di Kuala Nerus, minggu lepas.