KUALA TERENGGANU - Sebanyak 15 jalan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan ditutup sempena Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2018 pada Sabtu ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, penutupan jalan secara berperingkat itu bermula jam 11.30 malam esok (Jumaat) hingga 12 tengah hari (Sabtu).

Katanya, penutupan jalan yang terlibat pada waktu malam bermula jam 11.30 malam, Jumaat  hingga 5.30 pagi, pada Sabtu.

"Jalan-jalan itu ialah Dataran Batu Buruk, Jalan Persinggahan, Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Kampung Cina, Jalan Sultan Ismail, Jalan Kemajuan, Jalan Sultan Muhammad, Jalan Semarak, Jambatan Sultan Mahmud, Jalan Kamarudin, Jalan Sultan Mahmud, Jambatan Kuala Ibai dan Jalan Chendering- Puspakom," katanya.

Abd Razak berkata, bagi jalan-jalan yang terlibat pada waktu siang, penutupan bermula seawal jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, pada Sabtu ini.

"Ianya termasuk Dataran Batu Buruk, Jalan Persinggahan, Bulatan Ladang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Batas Baru, Jalan Kemajuan dan Jambatan Sultan Mahmud," katanya.

Susulan itu, Abd Razak mengingatkan pengguna jalan raya agar dapat merancang perjalanan bagi mengelak melalui jalan-jalan yang disenaraikan semasa larian berlangsung.

Dalam masa sama, Abd Razak turut menasihatkan kepada pengguna jalan raya dapat menggunakan laluan alternatif sementara waktu sepanjang tempoh jalan terlibat ditutup.