BESUT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan 13,000 anggotanya di seluruh negara kini bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang sering berlaku pada hujung tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Amer Yusof berkata pelbagai persiapan telah dilakukan bagi menghadapi bencana tersebut terutama berkaitan logistik, pelan tindakan kecemasan dan latihan kepada anggota-anggota yang terlibat.

"Secara khususnya kita mempunyai 43 Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dengan kekuatan 530 anggota di seluruh negara.

"Kita juga telah mengarahkan setiap negeri untuk mengadakan sekurang-kurangnya simulasi berkaitan penyelamatan ketika banjir sebanyak tiga kali setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kursus Rekreasi Laut Dalam dan Keselamatan Di Air di Pulau Perhentian di sini.

Hadir sama Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Kelantan Aidil Afizie Daud.

Kursus yang diadakan dengan kerjasama antara JBPM dan Motac Kelantan selama tiga hari yang bermula Isnin lepas dan berakhir semalam itu turut disertai seramai 144 peserta terdiri daripada orang awam, pengamal media selain anggota JBPM Kelantan dan Selangor.

Dalam perkembangan lain, Amer berkata purata 364 kejadian lemas direkodkan di seluruh negara sejak 2014 hingga 2017 dan merupakan satu angka yang sangat tinggi.

"Maknanya terdapat satu orang yang mati akibat lemas di seluruh negara pada setiap hari dan sejak Januari hingga Ogos lepas, terdapat kira-kira 300 kes lemas dicatatkan telah berlaku.

"Kebanyakan mangsa terdiri daripada kalangan remaja dan lokasi kejadian berlaku di kawasan sungai dan pantai dan perkara ini boleh dielak jika mereka mengetahui tentang risiko yang akan dihadapi jika berada di kawasan berkenaan," katanya. - Bernama