KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melantik 12,989 petugas bagi memastikan kelancaran urusan PRU14 di negeri ini.

Pengarah SPR Terengganu, Nik Andy Suwardy Amry berkata, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya dan yakin urusan sepanjang pilihan raya nanti berjalan lancar sebagaimana dirancang.

“Semua petugas yang terlibat sudah menjalani latihan dan beberapa siri simulasi pilihan raya juga dibuat sebagai pendedahan, mereka sudah bersiap siaga.

“Untuk PRU14 ini juga, kita menyediakan sebanyak 1,433 saluran mengundi di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Mengulas mengenai pengundian awal, beliau berkata, sebanyak 29 lokasi pengundian awal khas untuk pegawai dan anggota polis, tentera dan petugas pilihan raya disediakan di negeri ini.

Jelas beliau, pihaknya kini sedang menunggu tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian awal serta tarikh mengundi daripada SPR pusat.