KUALA TERENGGANU - Terengganu menggariskan 10 Draf Rancangan Tempatan (RT) Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 2035 dalam usaha meningkatkan imej dan pengukuhan pembangunan bagi Bandaraya Kuala Terengganu dan Bandar Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, dalam usaha membangunkan negeri berkenaan, kerajaan turut mengambil kira pandangan rakyat bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilakukan dengan lancar dan  sempurna.

Menurutnya, dalam tempoh draf RT di kedua-dua daerah itu di peringkat publisiti dan penyertaan awam, kerajaan negeri membuka ruang selama empat minggu bermula 15 Oktober sehingga 16 November 2018 untuk rakyat atau orang awam membuat sebarang bantahan dan sebagainya dengan cara yang telah disediakan mengenai pembangunan-pembangunan yang dirancang melalui draf RT terbabit.

“Draf berkenaan ialah memperkukuhkan koridor Pulau Sekati-Pulau Wan Man-Losong sebagai Jejak Pelancongan Warisan, mewujudkan laluan berbasikal dan beca di kawasan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu, menaiktaraf laluan pejalan kaki dalam bandar di sepanjang Jalan Sultan Ismail bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Hotel Seri Malaysia, menjadikan Pulau Warisan dan Dataran Shahbandar sebagai Taman Bandar Pesisir Air dan menaiktaraf Bukit Besar sebagai Taman Bandar.

“Seterusnya, menjadikan pecan Gemuruh sebagai Bandar Baru Lestari, menjadikan Pasar Batu Enam sebagai pusat pengumpulan hasil tani (mini RTC) bagi meningkatkan vibrancy kawasan, meningkatkan keluasan kawasan lapanga wam, mewujudkan Taman Rekreasi Keluarga Gong Badak berhampiran Stadium Sultan Zainal Abidin dan mengindahkan landskap Jalan Pulau Sekati-Gemuruh.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RT Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 2035 di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh, Timbalan Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia Terengganu, Norhasnita Abd Samad dan ketua-ketua jabatan serta badan bukan kerajaan yang terlibat.

Alias berkata, sepanjang tempoh publisiti dan penyertaan awam itu, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pembangunan yang akan dilaksanakan, boleh mengemukakan bantahan mereka dengan memberi alasan-alasan tertentu.

Katanya, kerajaan negeri mengambil langkah penglibatan orang awam kerana tidak mahu apabila draf berkenaan telah diwartakan, terdapat pihak yang menyekat ianya daripada dijalankan.

“Jika semua ini (draf RT) sudah diwartakan, pembangunan yang dirancang akan dilaksanakan dan pada masa itu sudah terlambat untuk mereka membuat bantahan dan sebagainya,” katanya.

Dalam masa sama, Alias berharap rakyat dan orang awam mengambil peluang yang ada itu untuk datang atau tampil di beberapa lokasi terpilih bagi melihat sendiri draf yang dirancang samada ia patut diteruskan atau sebaliknya.

“Kita menyediakan empat lokasi tetap untuk tujuan pameran draf RT iaitu di lobi Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), PLANMalaysia Terenganu (tingkat 4, Wisma Negeri), lobi utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu dan lobi utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus,” katanya.

Selain lokasi tetap, terdapat juga lokasi bergerak yang akan dilakukan dalam tempoh itu antaranya di UTS Terengganu (Paya Bunga Square), Masjid Al-Muktafi Billah Shah, KT Walk,Pantai Batu Burok, Pasaraya Mydin Bukit Besar,Masjid Unisza, Dapo Pata, Pasar Batu Enam dan banyak lagi termasuk juga semakan melalui laman web dan facebook PLANMalaysia Terengganu, MBKT, Pejabat Daerah kuala Terengganu dan Kuala Nerus serta PLANMalaysia.

Setelah selesai proses publisiti dan penyertaan awam itu, beberapa proses lagi akan dilaksanakan sehinggalah ia dijangka dapat diwartakan pada Mac 2009.