KEMAMAN - Lebih 1,000 sukarelawan termasuk 150 daripadanya pelatih Ranaco Education dan Training Institute (Reti) dan Ranaco Marine Sdn Bhd (RMSB) akan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menghadapi bencana banjir di negeri ini.

Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar berkata, penglibatan ramai sukarelawan dari dua institusi di bawah Ranaco Group of Companies (Ranaco) itu akan melancarkan lagi tugas 500 kakitangan JKM negeri ini dalam menguruskan bencana.

Lebih bermakna katanya, jaringan kerjasama itu dapat dilakukan secara rasmi menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) khidmat sukarela antara Reti dan RMSD bersama JKM Kemaman.

"Reti dan RMSD menjadi institusi pertama di Terengganu menandatangani MoU ini sekali gus menunjukkan komitmen padu mereka dalam membantu kerja-kerja kemasyarakatan.

"Sebenarnya pihak Ranaco telah membantu kita sejak 2014 bermula hanya 7 hingga 8 sukarelawan JKM Kemaman dan kini jumlah sukarelawan meningkat kepada 150 orang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco, Ahmad Firdhaus Ramlan di Resorts World Kijal, di sini.

Zuhami (depan, empat kanan) dan Ahmad Firdhaus (depan, tengah) bersama sukarelawan JKM Kemaman.

Mengulas lanjut, Zuhami berkata, usaha Ranaco itu menjadi langkah pertama untuk menggalakkan institusi pendidikan lain menjalinkan kerjasama bersama pihak JKM dalam program kesukarelawan.

"Kita menggalakkan orang ramai berdaftar menjadi sukarelawan JKM kerana setiap tahun kita berdepan dengan bencana dan kita memang perlukan sukarelawan untuk membantu JKM.

"Sukarelawan JKM ini diberikan latihan agar mereka dapat jalankan peranan sebaik mungkin terutama ketika situasi buruk dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Reti, Mohamad Ayub Ariffin berkata, pemeteraian MoU itu bagi memenuhi kehendak Kementerian Pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 hingga 2025 melibatkan lonjakan pertama iaitu untuk melahirkan graduan holistik.

"Maknanya pelajar perlu didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan penambahbaikan kepada 'soft skill' dan kemahiran komunikasi mereka.

"Jadi ini adalah satu inisiatif yang kita buat, kita bina jaringan dengan agensi luar untuk memantapkan lagi perhububungan demi melahirkan graduan yang selari dengan kehendak revolusi pendidikan 4.0," katanya.