SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menafikan dakwaan bantuan bulanan kepada asnaf di negeri ini lewat seperti yang ditularkan di media sosial, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Zakat Selangor memaklumkan bantuan kewangan bulanan dikreditkan ke akaun bank penerima antara 21 dan 25 setiap hari bulan.

“Seramai 24,319 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf disantuni dengan bantuan kewangan bulanan berjumlah RM111,001,600,” katanya.

Terdahulu, tular kenyataan seorang wanita yang mendakwa Zakat Selangor belum menyalurkan bantuan kewangan untuk bulan Ogos.

Dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, wanita itu mendakwa disebabkan lambat menerima bantuan, asnaf terpaksa makan bubur dengan kicap.

“Apa masalah dengan Zakat Selangor?? Ada sesiapa ada nombor untuk dihubungi?Zakat untuk bulan Ogos belum masuk lagi…bukan untuk semua…sudah dua minggu asnaf makan bubur dan kicap. Pesanan ringkas dalam Facebook zakat tak dijawab,” tulisnya dalam hantaran itu.

Bagaimanapun, Zakat Selangor dalam kenyataan di laman Facebooknya memberitahu setelah semakan dan siasatan terhadap nama asnaf diberi mendapati bantuan bulanan sudah  dikredit   ke akaun bank penama pada 21 Ogos lalu.

Katanya, Zakat Selangor menyalurkan bantuan kewangan bulanan kepada asnaf fakir dan miskin di Selangor melalui dua kaedah iaitu secara kredit ke akaun bank atau melalui tunai.

“Selain bantuan kewangan bulanan, asnaf fakir dan miskin juga terima bantuan makanan bulanan. Ada juga keluarga asnaf yang terima bantuan sewa rumah, pendidikan anak-anak dan bantuan persiapan hari raya.

“Terdapat juga asnaf yang terima bantuan perubatan, bina rumah baru, modal perniagaan, kursus pembangunan, baik pulih rumah, bantuan utiliti tertunggak dan lain-lain bantuan mengikut kesesuaian,” katanya.

Ujarnya, bantuan  disalurkan  berdasarkan  syarat dan kelayakan ditetapkan hasil semakan dan siasatan dijalankan Zakat Selangor.

“Bagaimanapun, bantuan disalur hanyalah bersifat meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin dan ia bukanlah bersifat kebergantungan,” katanya.