KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yakin laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai berhubung penjualan tanah kerajaan di ibu negara boleh mendedahkan kebenaran isu itu.

Katanya laporan oleh ahli Parlimen pembangkang itu juga dilihat boleh  menepis segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya  dan kerajaan.

"Saya berterima kasih kepada Tan Kok Wai yang memaklumkan akan membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan beliau terhadap saya dan Kementerian Wilayah Persekutuan berkaitan penjualan tanah kerajaan di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan baru-baru ini dilaporkan bercadang membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjual 45 bidang tanah tanpa tender terbuka semenjak Tengku Adnan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata beliau telah meminta pemaju hartanah membuat laporan kepada SPRM berhubung tindakan beberapa kumpulan yang didakwa membuat bantahan terhadap pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan mereka dan sekitar ibu kota.

Bantahan-bantahan tersebut katanya, untuk mendapatkan imbuhan tertentu daripada pihak pemaju.

"Saya tidak akan berkompromi dengan tindakan pihak tertentu yang bertentangan dengan undang-undang dan bertujuan untuk kepentingan peribadi,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bagi melahirkan masyarakat berilmu dan intelektual, Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk mewujudkan Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan (Perpustakaan 1WP) di setiap kawasan Parlimen di ibu negara.
  • SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa tidak dapat menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur yang kerap berlaku sehingga mengakibatkan perkara ini tiada penyelesaian terbaik.
  • KUALA LUMPUR - Jalan sambungan yang menghubungkan kawasan Desa Petaling dengan Kampung Malaysia Tambahan di sini yang bernilai RM8.8 juta dibuka kepada pengguna jalan raya bermula hari ini.
  • PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan,Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan mempengerusikan mesyuarat khas bersama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kementerian itu bagi membincangkan masalah sosial yang sedang melanda generasi muda, terutamanya di Kuala Lumpur.