CYBERJAYA - Lebih 300 warga Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan keluarga masing-masing menyertai program MQA Patriotik Sehati Sejiwa sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di pekarangan Bangunan Mercu agensi itu, di sini hari ini.

Majlis pelepasan kayuhan basikal patriotik sejauh enam kilometer yang merupakan satu daripada aktiviti bagi memeriahkan dan menyemarakkan ulang tahun kemerdekaan tanah air serta menzahirkan rasa cinta pada tanah bertuah ini itu, disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa.

Rujhan, yang turut menyertai kayuhan itu dengan menggayakan bendera Malaysia berkata tujuan program ini diadakan adalah untuk mengukuhkan jati diri dalam kalangan warga MQA terhadap kecintaan dan kesetiaan kepada Malaysia serta mengekalkan perpaduan antara kaum di negara ini.

"Program berbasikal itu amat menarik dengan semua peserta memakai dan menghias basikal masing-masing dengan Jalur Gemilang sekali gus menarik perhatian orang ramai. Ini merupakan inisiatif kita untuk menganjurkan aktiviti yang mengikut citarasa semasa anak muda dan di masa sama menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan peserta," katanya kepada pemberita ketika ditemui di program itu.

Selain kayuhan basikal patriotik, warga MQA dan keluarga mereka juga memperagakan pakaian fesyen Jalur Gemilang serta tentera Malaysia untuk menyertai Fun Walk serta menyertai pertandingan Basikal Berhias Patriotik, Lukisan Kanak-Kanak dan Nyanyian Lagu Patriotik.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KERAYONG - Semangat menyambut hari kemerdekaan dalam kalangan segelintir anak muda pada masa kini agak mengecewakan apabila dilihat kurang penghayatan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.