AMPANG - Polis kenal pasti mayat lelaki yang dipercayai dibunuh di Jalan Ampang Kiri, Hulu Kelang, awal pagi tadi ialah warga Bangladesh.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pengecaman mangsa Islam Ziadul, 34, dibuat oleh adik iparnya.

“Hasil bedah siasat, punca kematian adalah disebabkan luka yang dialami mangsa dan kita masih mengumpul maklumat berkaitan di lokasi tempat kerja dan tempat tinggal mangsa serta maklumat lain.

“Dalam masa sama kita memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil bagi membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian jam 2 pagi, mayat yang mempunyai kesan tetak di bahagian kanan muka hingga ke leher itu ditemukan di kawasan lapang berhampiran kebun pisang.