GOMBAK - Seorang lelaki warga asing merupakan penumpang terakhir yang menggunakan khidmat pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, yang ditemui mati dalam kereta miliknya di Selayang Makmur malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Tey Kong Seng berkata, pihaknya sedang mengesan penumpang berkenaan bagi membantu siasatan.

"Identiti penumpang itu diperolehi hasil maklumat daripada pihak Grab.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab ditemui mati dipercayai dibunuh]

"Pemeriksaan pada kenderaan mangsa mendapati sebuah telefon bimbit dan dompet mangsa hilang," katanya.

Jelasnya, bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematiannya disebabkan sesak nafas.

"Dipercayai mangsa ditekup menggunakan baju walaupun terdapat kesan kesan melecet pada lehernya.

"Siasatan dan punca kejadian masih diteruskan," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan seorang pemandu Grab yang tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu ditemui mati dalam kereta Produa Myvi miliknya di kawasan parkir di Selayang Makmur malam Sabtu.

Mangsa beralamat di Nilai merupakan graduan Universiti Selangor (Unisel) telah dua tahun menjadi pemandu Grab secara sepenuh masa.