SELAYANG - Pengundian sewa tapak gerai sempena perayaan Thaipusam di kuil Batu Caves akan dijalankan di Dewan Beringin Taman Sri Gombak, hari ini.

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 15, N Gopalan berkata, sebanyak 672 tapak akan dibuka untuk sewaan peniaga pada hari tersebut yang dijangka bermula jam 9.30 pagi.

Menurutnya, harga sewaan tapak dikategorikan kepada dua iaitu gerai biasa dan gerai gunting rambut.

“Harga sewaan RM100 dikenakan kepada gerai biasa dan tambahan RM50 untuk permit kanopi bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan.

“Manakala untuk gerai gunting rambut pula, RM200 dikenakan kepada peniaga tidak termasuk permit kanopi melibatkan tempoh tiga hari berniaga bermula 25 hingga 27 Januari,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pecahan petak secara percuma turut diagihkan kepada orang kurang upaya (OKU), pihak sekolah Tamil dan pertubuhan bukan kerajaan sepanjang perayaan itu dijalankan.

“Sebanyak 20 unit gerai akan diberikan kepada golongan OKU, 50 unit kepada sekolah Tamil dan 50 kepada NGO.

“Peruntukan gerai NGO dibuat berdasarkan tugasan dan khidmat mereka yang bakal menjalankan servis secara percuma kepada orang awam seperti pemberian makanan, rawatan kesihatan dan menjaga kebersihan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pelesenan MPS, Affendi Samingan berkata, beliau meminta supaya peniaga mengelakkan penggunaan bekas makanan jenis polistirena atau plastik.

“Kita menggalakkan peniaga menggunakan bekas jenis bahan yang boleh di kitar semula seperti kertas menggantikan plastik untuk memudahkan kerja pembersihan dilakukan selain menjimatkan kos pelupusan.

“Peniaga juga diharapkan dapat mematuhi syarat yang ditetapkan sebagai memudahkan urusan,” katanya.