BERMULA daripada ‘free gift’ yang diperoleh tatkala bapanya membeli produk berasaskan milo mendorong anak bongsu daripada lapan beradik  mengumpul pelbagai koleksi berasaskan Milo sejak 10 tahun lalu.

Pada mulanya, dia mengakui langsung tidak terfikir berkenaan barangan berkenaan yang mempunyai nilai sentimental itu.

Menceritakan perkara itu, Mohd Yusuf Ali, 37, berkata, arwah bapanya, Ali Kadir, 70, dahulu mempunyai sebuah kedai makan.

“Setiap kali beli produk Milo, mesti ada ‘free gift’ sama ada dalam bentuk gelas, kotak pensel, botol minuman dan sebagainya diterima daripada pembekal.

“Pada masa itu, pelbagai pelekat berasaskan Milo juga turut ditampal di ruang dinding di kedai sebagai salah satu cara mempromosikan minuman berkenaan oleh pembekal,” katanya ketika ditemui, di kediamannya di Bukit Raja.

Pelbagai ‘free gift’ hanya dibiarkan tersimpan begitu sahaja di dalam stor.

“Suatu hari, timbul idea untuk jadikan barangan itu sebagai koleksi. Bermula dengan mug dan pelekat, saya mula kumpul koleksi-koleksi lain.

“Minat mengumpul barangan itu semakin bercambah dari hari ke hari, saya mula menjejaki produk-produk lama Milo menerusi rakan-rakan,” katanya.

Akuinya, sehingga kini lebih 500 jenis barangan sudah berada dalam koleksinya antaranya adalah mug, botol air, tin Milo, baju, lori mainan, kertas, topi, birai, tirai, lampu, kotak pensel, pembaris, pemadam, pensel dan sebagainya.

“Ada di antaranya dihadiahkan rakan-rakan dan tak kurang juga saya beli di pasar Karak.

“Kesemua koleksi ini saya tempatkan di rumah yang mana bahagian ruang tamu saya diubahsuai jadi galeri kecil,” katanya.

Koleksi termahal

Mohd Yusuf mengakui koleksi paling antik yang pernah dimiliki adalah beberapa tin Milo yang dikeluarkan pada tahun 1960-an.

“Ketika itu ia dikenali sebagai minuman tonik.

“Pernah suatu ketika dahulu, ada rakan tawarkan RM3,000 untuk beli koleksi cawan Milo kopitiam, tapi saya tolak tawaran itu sebab anggap koleksi tu amat bernilai serta mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Saya tak sanggup nak jual barangan yang ada ini, memang saya sayang semuanya apatah lagi sukar untuk saya dapatkannya,” katanya.

Tambahnya, barangan yang dikumpul ini adalah tanda kasih sayang dan dia tidak tergamak untuk menjualnya.

“Sepanjang saya mengumpul koleksi ini, saya sudah membelanjakan kira-kira RM30,000 termasuk membeli rak pameran dan barangan Milo yang sukar didapati.

“Bahkan sebelum ini juga ada pihak yang menawarkan diri untuk membeli kesemua koleksi saya ini dengan nilai RM40,000 namun saya enggan menjualnya,” katanya.

Kongsi minat dengan isteri

Dalam pada itu, Mohd Yusof bertuah apabila minatnya itu turut mendapat sokongan penuh isterinya, Zaiton Sulaiman, 32.

“Sekalipun keseluruhan ruang tamu dipenuhi barangan Milo, isteri tak kisah asalkan ia kelihatan bersih dan teratur.

“Bahkan sudah menjadi rutin kami setiap bulan untuk mengelap kotoran dan habuk pada koleksi sama ada yang baru mahupun yang lama sekalipun ia sudah berusia lebih 50 tahun,” katanya.

Akuinya, sehingga kini 80 peratus barangan sudah berjaya dikumpul dan tinggal 20 peratus sahaja iaitu dalam 200 ke 300 barangan lagi.

“Pada masa sama, saya menyimpan hasrat untuk buka sebuah galeri khas Milo untuk kenangan saya pada masa depan.

“Walaupun ia kena ambil masa namun saya yakin, impian saya ini akan tercapai berkat sokongan isteri dan rakan,” katanya.

Menurutnya, hobinya itu turut dikongsi bersama komuniti laman sosial Facebook yang kini mempunyai hampir 100 rakan bagi berkongsi maklumat dan bertukar pendapat berkenaan produk tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGERANG - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat hadir dan menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek dan Pembukaan Galeri Jualan Bukit Pelali@Pengerang (Bukit Pelali), di sini semalam.
  • ALOR SETAR - Rakyat Kedah berpeluang menatap 100 keping potret Diraja yang menampilkan perjalanan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sejak usia remaja sehingga mencatat sejarah dilantik sebanyak dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong.
  • PAGOH - Susulan bencana banjir melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu, kawasan tumpuan Galeri Darurat Bukit Kepong turut terjejas apabila sebahagian tapak bersejarah itu dinaiki air.
  • TIDAK mahu mensia-siakan bakat melukis yang ada dalam diri, seorang penduduk Kampung Simpang Sepayang, Kuala Rompin memilih untuk menjadi pelukis sepenuh masa sejak berusia 26 tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.