SUBANG JAYA - Sembilan cedera termasuk tujuh parah dan melecur akibat letupan di sebuah kilang pembuatan makanan kopitiam di Jalan Subang 10, Taman Perindustrian Subang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 8 pagi itu, letupan serta kebakaran kecil dikatakan berlaku di bahagian dapur memasak dan tidak membabitkan ruangan lain dalam bangunan kilang pengeluar makanan itu.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri berkata kesemua mangsa membabitkan warga Myanmar dan Nepal.

Keadaan mangsa yang cedera dalam kejadian letupan di sebuah kilang, pagi tadi.

Menurutnya, tiga mangsa melecur dan kritikal, manakala mangsa lain yang cedera termasuk dua cedera ringan dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan susulan.

Katanya, susulan kejadian itu, kira-kira 200 pekerja diarah mengosongkan bangunan dan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.